Diterbitkan pada 4 September 2025, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Warisan tradisional teater bangsawan kembali mewarnai pentas tanah air apabila pementasan Bangsawan Tribuana ASEAN berlangsung meriah di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama dua hari, bermula 30 Ogos lalu.

Program anjuran Majlis Teater Negeri Selangor (MTS) dengan kerjasama DBP itu menghimpunkan tiga buah negara berjiran, iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam satu persembahan yang disaksikan lebih 300 orang penonton.

Pensyarah kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap pengarah program, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman berkata, pementasan ini bukan sahaja mengangkat semula warisan seni bangsawan, malah menyokong Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025 yang menekankan tema keterangkuman dan kemampanan.

“Melalui persembahan ini, hubungan diplomatik antara negara dapat diperkukuh, sekali gus membuka ruang diplomasi budaya yang mengangkat bahasa dan persuratan Melayu serantau. Persembahan teater ini juga memperkukuh kefahaman tentang identiti ASEAN,” ujarnya.

Lebih 200 tenaga produksi terlibat menjayakan pementasan ini, hasil gabungan MTS, Lab. Teater Gates Indonesia dan Anjung Sateria Budaya (Astria), Singapura. Setiap negara menampilkan persembahan bangsawan tersendiri yang diselang-selikan dengan persembahan kebudayaan seperti dikir barat, seni silat dan tarian.

Turut membuat persembahan ialah kumpulan dari Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist Kuala Lumpur dan Langkah Seni Nusantara, sekali gus menyerikan lagi pentas.

Persembahan dikir barat oleh pelajar-pelajar Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist Kuala Lumpur.

Antara yang hadir menyaksikan persembahan tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan; Pengerusi Trigolden Heritage, YBhg. Dato’ Maznah Nahu; Setiausaha Bahagian, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBrs. Puan Wan Azilawati Wan Mahmood serta wakil dari Indonesia dan Singapura.

Persembahan teater ditutup dengan nyanyian lagu patriotik Tanggal 31 Ogos bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68.

Sebagai rekod, teater bangsawan, yang merupakan gabungan lakonan, nyanyian dan muzik berasaskan hikayat, legenda dan cerita rakyat, suatu ketika dahulu menjadi hiburan utama masyarakat. Kini, teater sebegini ini dilihat sebagai usaha penting dalam memulihara khazanah seni budaya dan kesusasteraan Melayu sekali gus memperkenalkannya kepada generasi muda.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi