Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – “Budaya bukan sekadar hiasan lahiriah, sebaliknya merupakan asas ketahanan bangsa.”
Demikian antara intipati yang bergema dalam Seminar Sejarah Hubungan Kelantan–Terengganu: Berasaskan Naskhah Melayu yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, baru-baru ini.
Pembentang dan juga tokoh budaya, Dato’ Haji A. Aziz Deraman menjelaskan bahawa, “Kelantan dan Terengganu hidup megah dengan bahasa, seni, penulisan kitab, persuratan, serta nilai sosiobudaya sendiri”
“Tanpa memahami warisan dua negeri ini, sukar untuk memahami akar jati diri bangsa Melayu-Islam.”
Kenyataan ini menekankan bahawa kekuatan bangsa Melayu tidak boleh hanya diukur melalui politik dan ekonomi, tetapi lebih mendalam lagi melalui budaya yang diwarisi dan dipelihara.
Selain itu, Dato’ Aziz Deraman juga menyatakan teks klasik seperti Hikayat Seri Kelantan, Hikayat Patani dan Hikayat Dewa Muda bukan sekadar catatan sejarah, tetapi arkib budaya yang memelihara cara hidup dan pemikiran masyarakat.
Sebagai contoh Hikayat Seri Kelantan menggambarkan adat istana, peranan wanita, serta kehidupan pasar. Hikayat Patani menekankan muzik nobat, regalia dan diplomasi. Manakala Hikayat Dewa Muda pula memperlihatkan kaitan kesenian Mak Yong dengan spiritualiti.
Dato’ Aziz Deraman turut menekankan sembilan nilai teras budaya Melayu, iaitu antaranya budi bahasa, muafakat, kesetiaan, kejujuran dan kemuliaan ilmu. Nilai-nilai ini selari dengan pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas (1978) yang menegaskan bahawa adab adalah asas peradaban Islam-Melayu.
Tanpa nilai-nilai ini, bangsa akan kehilangan identiti. Oleh itu, budaya harus difahami sebagai tonggak peradaban, bukan sekadar warisan estetika.
Namun begitu, budaya Pantai Timur berdepan cabaran besar. Globalisasi, pascamodenisme, dan dominasi budaya Barat sedikit demi sedikit menghakis tradisi. Seni persembahan semakin terpinggir oleh hiburan moden, dialek tempatan kurang digunakan dan sistem pondok perlu menyesuaikan diri dengan arus semasa.
Oleh itu, beliau mencadangkan strategi pemeliharaan melalui festival budaya, dokumentasi manuskrip lama, dan penglibatan generasi muda dalam inovasi seni.
Dengan langkah ini, budaya dapat terus hidup dan relevan meskipun berdepan cabaran dunia moden.
Terdahulu, Seminar anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ini berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh akademik terkemuka yang menyorot kembali peranan naskhah Melayu klasik, pendidikan pondok, seni persembahan, serta nilai budaya sebagai benteng ketahanan bangsa Melayu-Islam.
Seminar tersebut menjadi medan penting untuk mengangkat kembali warisan budaya pantai timur. Antara pembentang lain termasuklah YB Dato’ Abdullah Zakaria Ghazali: Patani–Kelantan–Terengganu: Menelaah Naskhah; Mohd Fadli Ghani: Kelantan–Terengganu, Diplomasi dan Taulan; Prof. Madya Dr. Berhanundin Abdullah: Warkah Melayu Tradisi: Cerminan Hubungan Kelantan–Terengganu dan Dato’ A. Aziz Deraman: Kelantan–Terengganu dari Perspektif Sosiobudaya.
Perbincangan ini memperlihatkan bahawa hubungan Kelantan–Terengganu tidak dapat dipisahkan daripada warisan naskhah Melayu klasik yang merakam politik, perdagangan, adat istana, pendidikan, dan seni budaya sejak berabad-abad lalu.
Kelantan dan Terengganu sejak dahulu lagi dilihat sebagai nadi jantung warisan Melayu-Islam. Kedua-dua negeri pantai timur ini bukan sahaja menerima pengaruh awal Islam, malah berkembang sebagai pusat pendidikan pondok, persuratan Jawi, adat istiadat, dan kesusasteraan klasik.
Kesemua makalah dan perbincangan dalam seminar ini membawa kepada kesimpulan yang sama: budaya adalah asas ketahanan bangsa. Kelantan dan Terengganu menjadi bukti hidup bagaimana budaya mampu menjadi benteng identiti, pemelihara nilai, dan penghubung generasi.
