Diterbitkan pada 8 September 2025, 18:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Budaya ilmu bukan hanya wacana di menara gading, tetapi harus mengakar dalam kehidupan seharian.”

Demikian tegas Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ketika menyampaikan syarahan bertajuk Kembara Dunia dalam Program Suara Anjung Dewan Budaya yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Majalah dengan kerjasama Bahagian Multimedia, petang tadi.

Beliau berkongsi pengalaman pengembaraan beliau selama 100 hari dari 16 April hingga 26 Julai 2025, merangkumi lawatan ke 15 negara antaranya termasuklah Qatar, Arab Saudi, Turkiye, Sweden, Norway, Denmark, Jerman, Switzerland, Perancis, Belgium, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea.

Sepanjang perjalanan, beliau menyampaikan lebih 40 syarahan di universiti dan institusi luar negara, bertemu dengan 10 presiden universiti, melawat lebih 28 masjid, serta menghasilkan lebih 40 puisi yang ditulis berdasarkan pengalaman di pelbagai kota. Beliau menegaskan bahawa setiap syarahan adalah peluang untuk menjadikan ilmu sebagai jambatan kemanusiaan.

“Perjalanan ini ialah usaha untuk menghidupkan budaya ilmu di pentas global. Perjalanan ini juga tentang usaha saya untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mencintai ilmu, meraikan kepelbagaian dan berani berdialog dengan dunia,” ujarnya.

“Budaya ilmu bukan hanya wacana di menara gading, tetapi harus mengakar dalam kehidupan seharian.” – Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang

Beliau turut menekankan bahawa budaya ilmu tidak terbatas kepada aktiviti akademik, tetapi meliputi semangat membaca, menulis, mengembara dan bertanya.

Menurutnya, kembara beliau terinspirasi daripada karya Around the World in 80 Days oleh Jules Verne, One Year Off oleh David Elliot Cohen dan A Year Off oleh Alexandra dan David Brown, serta puisi-puisi Profesor Simon Armitage, memperlihatkan bahawa perjalanan boleh menjadi sumber pembelajaran yang tidak ternilai.

Antara karya beliau yang terhasil menerusi pengembaraannya termasuklah “Kembara” (hari ke-67 di Newcastle), “Kau yang Gila” (hari ke-82 di Kendall Square) dan “Pertanyaan” (hari ke-84 di Harvard Square). Karya-karya tersebut bukan sahaja mencatatkan refleksi peribadi, tetapi juga menjadi saksi bagaimana budaya ilmu boleh dilahirkan melalui interaksi dengan manusia dan tempat yang berbeza.

Menurut beliau, Malaysia memiliki kelebihan tersendiri seperti kepelbagaian budaya, keharmonian masyarakat serta potensi untuk menjadi hab pendidikan tinggi bertaraf dunia. 

“Kekuatan kita adalah hidup dalam sistem yang berbeza tetapi saling menghormati. Itulah asas yang membolehkan kita membina Malaysia sebagai pusat budaya ilmu serantau,” katanya lagi.

Pengembaraan 100 hari, 15 negara, lebih 40 syarahan: misi kembara ilmu Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dikongsikan dalam program Suara dari Anjung Dewan Budaya di Anjung DBP.

Selain itu, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini turut berkongsi tentang pemerhatian beliau terhadap amalan baik negara lain seperti kebersihan bandar di Jepun, industri salmon di Norway, Lego di Denmark, dan inovasi kecantikan di Korea Selatan. Katanya, Malaysia wajar mencontohi kejayaan tersebut tanpa mengorbankan jati diri warganya.

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, YBrs. Puan Zubaidah Mukhtar; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Encik Mohd Radzi bin Omar; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M. Azahari Edin; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, YBrs. Puan Naimah Yusof.

Sebagai rekod, program “Suara dari Anjung” merupakan siri program daripada inisiatif DBP untuk menyemarakkan aktiviti keilmuan, memperkukuh wacana intelektual serta menyampaikan maklumat terkini berkaitan dengan isu semasa yang bersifat global dan berimpak tinggi.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi