Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Tayangan Perdana Cereka Khas Srikandi anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di GSC, The Starling, Damansara Utama, semalam menonjolkan kekuatan dan kebijaksanaan wanita Melayu melalui naratif yang menarik.
Penganjuran majlis tersebut turut disokong olehPerbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
Srikandi yang diinspirasikan daripada karya agung klasik Syair Siti Zubaidah mengisahkan tentang keberanian seorang wanita Melayu bernama Siti Zubaidah yang memulakan misi menyelamatkan suaminya ketika beliau sarat mengandung.
Karya arahan Wan Mohd Afzam Wan Daud ini menggabungkan unsur sejarah dan fiksyen dari era sebelum abad ke-16 dengan suntikan seni budaya tempatan seperti silat, tarian warisan, syair Melayu dan bahasa klasik yang indah.
Kisah ini mengangkat watak Siti Zubaidah sebagai srikandi Melayu yang bukan sahaja memiliki kecantikan, malah kebijaksanaan dan keberanian yang luar biasa.
Dalam keadaan masyarakat yang sering meminggirkan kaum wanita, Siti Zubaidah bangkit menentang segala halangan demi membela tanah air, maruah bangsa dan keadilan.

Sehubungan dengan itu, pertarungan batinnya terserlah apabila beliau terpaksa memilih antara cinta peribadi dengan tanggungjawab terhadap bangsa.
Melalui jalan cerita yang penuh konflik, pengkhianatan dan pengorbanan, Siti Zubaidah tampil sebagai ikon wanita unggul bukan sekadar srikandi di medan perang, malah srikandi untuk membentuk nilai, jati diri, dan semangat perjuangan.
Srikandi menjadi lambang kekuatan seorang wanita yang sanggup mengorbankan kepentingan diri demi kejayaan dan kesejahteraan orang lain.
Penggambaran cereka khas ini berlangsung selama lebih sebulan di pelbagai lokasi di sekitar negeri Pahang (antaranya termasuklah Sungai Pahang Kuala Tahan, Perkampungan Dalam Gua Gelangi, Mossy Forest, Pulau Tioman) dan Taman Botani Shah Alam.
Sementara itu, drama berskala besar pertama RTM yang diterbitkan dalam format sinematik ini akan dihantar ke Festival Filem Antarabangsa, dan akan disiarkan pada 15 September 2025, pukul 9.00 malam di TV1 dan RTMKlik.

Antara barisan pelakon hebat yang menjayakan Srikandi termasuklah Farali Khan sebagai Siti Zubaidah, Amalina Arham (Umi Kalsom), Fauziah Latiff (Bonda Sultanah), Luqman Hafidz (Sultan Zainal Abidin), Catriona Ross (bonda Siti Zubaidah), Che Kem (ayahanda Siti Zubaidah), Khatijah Tan, Datuk Fauziah Nawi, Hafidzudin Fazil, Mubarak Majid, Fendy Bakry dan Yusran Hashim.
Pada majlis tersebut juga diadakan pelancaran Buku Skrip Cereka Khas Srikandi yang diterbitkan khas oleh DBP bersempena dengan penghasilan cereka khas Srikandi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Penyiaran, YBhg. Datuk Suhaimi Sulaiman; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Haliman Abang Julai dan Encik Mohd Ridzuan Mohd Badri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.