Diterbitkan pada 9 September 2025, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “ASEAN bukanlah teater persaingan kuasa besar, sebaliknya platform untuk membina kestabilan politik, ekonomi dan suara kolektif rantau ini,” tegas mantan Menteri Luar Negeri, YBhg. Tan Sri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar dalam Majlis Bicara Sejarah ASEAN di Pusat Pendokumentasian dan Pemuliharaan Bahan Audiovisual (PPPAV), Arkib Negara Malaysia, pagi tadi.

Majlis anjuran Arkib Negara Malaysia itu menampilkan tokoh pembicara tersohor, iaitu Tan Sri Syed Hamid, mantan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), YBhg. Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan serta Penasihat Substantif dan Dokumentasi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, YBhg. Datuk Jojie Samuel M.C. Samuel. Sesi dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM), YBrs. Profesor Dr. Roy Anthony Rogers.

Tan Sri Syed Hamid dalam bicara beliau menekankan bahawa meskipun ASEAN sering menerima kritikan daripada luar, organisasi ini tetap berdiri teguh dan memilih untuk berdialog.

YBhg. Tan Sri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

“Ketika krisis kewangan Asia 1997, ada negara yang terbelenggu dengan syarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). ASEAN mencari jalan tersendiri untuk pulih. Begitu juga dengan isu Timor Leste, Malaysia mengambil sikap proaktif mengajak mereka ke meja perbincangan,” katanya.

Beliau turut menyentuh cabaran Myanmar yang menurutnya sukar ditangani secara kolektif. “Konsensus Lima Perkara bukan mudah dilaksanakan. Namun begitu, kita tidak boleh mengabaikan prinsip tidak campur tangan, kecuali apabila masalah itu melimpah kepada negara jiran,” jelasnya.

Dalam konteks hubungan dua hala, beliau memberi contoh isu jerebu antara Indonesia dan Malaysia. Katanya, ASEAN memilih untuk menyelesaikan masalah secara diplomasi tanpa mengundang campur tangan luar.

ASEAN Way ini mungkin dilihat perlahan oleh Barat, tetapi pendekatan konsensus inilah yang menjadi sumber kekuatan kita. Kesepakatan dicapai bukan dengan paksaan, tetapi dengan rundingan,” tambahnya.

Menyambung wacana, Tan Sri Mohamed Jawhar menekankan kepentingan tema keterangkuman dan kemampanan dalam menghadapi perubahan geopolitik semasa.

“Dunia kini memasuki fasa multipolar. Kuasa global tidak lagi hanya berpusat pada Barat dengan Asia dan Afrika semakin menjadi tumpuan. ASEAN mempunyai kelebihan unik untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia dalam dekad akan datang,” katanya.

YBhg. Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan.

Menurut beliau, ASEAN pernah mengharungi pelbagai konflik, daripada Perang Dingin, perang saudara, hingga pertelingkahan wilayah. Namun begitu, pencapaian terbesar organisasi ini adalah mengubah rantau yang bergolak menjadi kawasan aman.

“Perubahan ini berlaku kerana negara-negara anggota sendiri berusaha memerdekakan diri, tetapi ASEAN memberikan mereka ruang kolektif untuk bersuara. Tanpa ASEAN, suara kita akan lebih kecil, lebih mudah diketepikan oleh kuasa besar,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa ASEAN harus bersikap berkecuali dan tidak condong ke mana-mana pihak dalam persaingan kuasa besar. 

“Pertembungan Amerika Syarikat dan China bukan sekadar konflik dua negara, tetapi pertembungan kumpulan kuasa. ASEAN mesti kekal tidak memilih sisi. Prinsip berkecuali dan diplomasi berkecuali penting untuk mengurangkan risiko perbalahan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Jojie Samuel menekankan bahawa kepengerusian Malaysia pada 2025 amat signifikan kerana membawa naratif keterangkuman dan kemampanan.

“Malaysia mahu mengekalkan keamanan rantau melalui wacana dan diplomasi berprinsip, memperkukuh perdagangan intra-ASEAN, serta memastikan pembangunan inklusif yang merangkumi semua golongan, termasuk wanita, belia, warga emas dan orang kurang upaya. ASEAN mesti menjadi rantau yang tiada sesiapa pun tertinggal,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan aliran pelaburan asing langsung (FDI) bernilai ratusan bilion dolar.

“Sebagai negara tunggal, suara kita kecil. Tetapi sebagai blok 10 negara, suara ASEAN lebih kuat, lebih dihormati. Inilah manfaat keterangkuman yang mesti kita pertahankan,” tambahnya.

Datuk Jojie juga menyentuh isu penyertaan Timor Leste dan krisis Myanmar. 

“Timor Leste perlu segera dibawa masuk bagi memperkukuh blok perdagangan, manakala isu Myanmar kekal kompleks. Kita mesti terus berpegang pada undang-undang antarabangsa dan sistem berasaskan peraruran,” katanya.

Kesemua panel bersetuju bahawa keterangkuman dan kemampanan adalah tema paling sesuai dalam menghadapi cabaran masa kini, termasuk perubahan iklim, jurang pembangunan dan konflik geopolitik.

“ASEAN adalah jambatan. Tetapi jambatan itu mesti kukuh dan benar-benar menyambungkan, bukan hanya simbolik,” ujar Tan Sri Syed Hamid.

Manakala Tan Sri Mohamed Jawhar pula menyimpulkan, “Keterangkuman dan kemampanan bukan sekadar slogan. Kedua-dua elemen itu merupakan asas yang menjamin ASEAN terus relevan, bukan hanya kepada kerajaan, tetapi juga kepada rakyatnya.”

Majlis diakhiri dengan penegasan bahawa ASEAN kekal relevan sebagai simbol jati diri Asia Tenggara. Walaupun berdepan cabaran, ASEAN telah membuktikan dirinya sebagai pertubuhan serantau yang mampu membawa keamanan, kestabilan dan kemajuan.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi