Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Usaha memperkasakan ekonomi Malaysia yang menjadi teras kepada Kerajaan MADANI, tidak akan lengkap sekiranya tiada pengukuhan seni budaya sebagai tunjang masyarakat berbilang kaum”
“Oleh itu, apabila kita menjayakan kerangka MADANI, teras kita adalah pemerkasaan ekonomi dan membangunkan nilai kemanusiaan dalam kalangan rakyat.”
Demikian inti ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Malam Gala Festival Budaya Malaysia 2025 “Wow Malaysia” di Pentas Utama, Taman Tasik Titiwangsa, semalam.
Dalam ucapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata penganjuran Malam Gala Festival Budaya Malaysia 2025 (FBM2025) “Wow Malaysia” menggambarkan kehebatan negara ini kerana mempamerkan kepelbagaian budaya yang ada.
Menurutnya, acara berkenaan bukan sahaja menonjolkan sebuah festival, malah kerencaman budaya Malaysia yang dibanggakan.
Kekuatan kita menerima kepelbagaian daripada pelbagai etnik, agama dan daerah. Semuanya ada kekuatan dan keindahan ini dipamerkan. Inilah kehebatan luar biasa.
Tambah beliau; negara ini juga menghormati hak semua kaum yang menguasai bahasa masing-masing, serta menuntut perkembangan dunia, kita tahu keperluan menguasai pelbagai bahasa, terutamanya bahasa Inggeris
Namun begitu, istimewanya Malaysia, kata beliau, meskipun budaya Melayu adalah budaya kebangsaan, tetapi rakyat turut merangkul budaya suku kaum lain dan bahasa Melayu yang sebagai bahasa Kebangsaan mengikat toleransi dalam kalangan rakyat.
Sebelum itu, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) YB Dato’ Seri Tiong King Sing turut berucap dalam majlis tersebut.
Beliau berkata; “sepanjang lawatan kerjanya ke pelbagai negara, beliau sering menerima maklum balas daripada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia sebuah destinasi yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan pelbagai kaum”
Inilah kekuatan sebenar Malaysia, iaitu kekayaan budaya bukan sahaja kebanggaan rakyat, tetapi juga khazanah yang dihargai semua.
“Kepelbagaian kaum dan tradisi telah membentuk keunikan Malaysia yang istimewa, yang tidak dapat ditiru oleh mana-mana negara lain. Budaya kita bukan hanya sekadar seni dan warisan, tetapi teras jati diri bangsa dan asas kekuatan negara.” Tegas beliau.
Malam Gala turut dihadiri Timbalan Menteri MOTAC, YB Tuan Firdaus Akhbar Khan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) YBhg. Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Persembahan artis tanah air seperti Shiha Zikir, Amad Dayyan dan ramai lagi yang menampilkan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia dalam suasana penuh gemilang memeriahkan Malam Gala tersebut.
Terdahulu Festival Budaya Malaysia 2025 (FBM2025) merupakan program anjuran MOTAC yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Seiring aspirasi Malaysia MADANI dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), FBM2025 terus menjadi wadah pemerkasaan seni budaya dan jambatan perpaduan masyarakat berbilang kaum.