Diterbitkan pada 14 September 2025, 13:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Festival Budaya Malaysia 2025 (FBM2025) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada kali ini menggabungkan persembahan tradisional dan inovasi moden.

Malahan, festival yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa  juga merangkumi tiga unsur, iaitu udara, air dan darat.

Antara program melibatkan unsur udara termasuklah belon udara panas yang beroperasi di sepanjang FBM 2025 dari pukul 8 hingga 10 malam setiap hari. FBM2025 turut menganjurkan Regatta Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur International Racing Boat 2025.

Selain itu, turut diadakan program seperti Wayang Kulit Nusantara, Menora, Gendang Silat, Perkampungan Borneo, Pameran Perkahwinan Malaysia, Festival Kebudayaan Cina, Permainan Tradisional, Teater Taman dan Pertandingan Silambam.

Dalam menambah seri FBM2025, pertandingan bertaraf antarabangsa juga diadakan seperti Colorguard Showcase, Kejohanan Muay Thai (Kuda Merah), Festival Wayang Kulit Antarabangsa, Drummerz Showdown dan Festival Memanah Berkuda Tradisional Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 dengan peserta dari Qatar, Korea, Mongolia, China, Palestin, Afganistan, Kemboja, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, India, Sri Lanka, Brunei Darussalam, dan Poland.

Pengunjung turut berpeluang melihat dan mencuba pembuatan produk kraf menerusi demonstrasi kraf seperti mencanting batik, anyaman rotan, ukiran Orang Asli dan sulaman tekatan.

MOTAC turut mengangkat makanan warisan menerusi Festival Citarasa Warisan@Kuala Lumpur (FCW) apabila lebih 55 jenis makanan warisan dipamerkan dan dijual kepada pengunjung seperti botok-botok, punten, linopot, ambuyat, laksa Sarawak, kuih bulan, nasi kuning Sabah, celorot gula apong dan lontong darat.

Bagi menarik kehadiran pengunjung Cina, FBM2025 membawakan Pingmin Market dengan pelbagai jualan seperti musang king gelato, kopi Hainan, kimbap, kombucha dan sarang burung.

Pengunjung antarabangsa khususnya dari China, disajikan dengan makanan-makanan dari Xinjiang halal food seperti Xinjiang nan, pilaf, lamb skewer, honey oil fruit, dumpling, dan fry the buns.

Sementara itu, 15 orang usahawan kraf menyertai pameran, jualan, demonstrasi dan interaktif kraf bagi produk kraftangan menerusi Pameran Dasar Kebudayaan Negara di bawah Kraftangan Malaysia yang menampilkan pelbagai produk kraf Malaysia daripada tekstil, logam, hasil rimba dan aneka kraf.

Untuk rekod, FBM2025 merupakan program peringkat kebangsaan anjuran MOTAC dan dibantu oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pertubuhan bukan kerajaan turut menyemarakkan FBM2025 termasuklah Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan (SRFA – persatuan India), Persatuan SOKKA GAKAI Malaysia (Cina), Persatuan Cinta Seni Budaya, Pertubuhan Seni Budaya Sabah Kuala Lumpur dan Selangor serta Persatuan Raban Indu Borneo Seremban.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi