Diterbitkan pada 14 September 2025, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muar – Dataran Tanjung Emas, Muar sekali lagi menjadi pentas pertemuan budaya apabila Festival Warisan Bahtera Merdeka 2025 berjaya menghimpunkan pelbagai elemen seni, warisan dan masyarakat dalam satu acara berprestij sempena sambutan bulan kemerdekaan negara, baru-baru ini.

Festival yang mengetengahkan konsep warisan sebagai bahtera yang membawa identiti bangsa menuju masa depan. Gabungan elemen yang berfokuskan persembahan kesenian dan kebudayaan seperti tari zapin, pencak silat, gamelan dan artis tempatan mencipta suasana meriah yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum.

Persembahan utama juga berjaya menggambarkan keindahan warisan Melayu-Jawa sempena sambutan bulan kemerdekaan negara. Lebih menarik, festival ini turut menampilkan artis jemputan terkenal seperti Hermantino, Shafie Rio dan beberapa nama lain yang menghidupkan suasana dengan persembahan seni suara berlatarkan nuansa budaya.

Selain persembahan pentas, festival turut disemarakkan dengan pelbagai pertandingan seni kreatif anjuran Kelab Anjung Melayu UIAM Pagoh. Pertandingan tersebut merangkumi deklamasi puisi, penulisan cerpen, dan video pendek bertemakan kemerdekaan.

Menariknya, pertandingan ini diadili oleh barisan juri profesional daripada UIAM Pagoh dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), sekali gus meningkatkan tahap kredibiliti dan memberi pendedahan bermakna kepada para peserta muda untuk menonjolkan bakat mereka dalam dunia kesusasteraan dan seni persembahan.

Festival ini juga diserikan oleh persembahan seni daripada pelbagai kumpulan yang mewarnai pentas dengan keunikan masing-masing. Gabungan Gamelan Nadasukma bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Parit No. 5 menampilkan alunan gamelan Jawa yang memukau, manakala SMK Tun Sulaiman Ninam Shah Muar (TUNAS) mempersembahkan gamelan Melayu yang penuh tradisi.

Tidak ketinggalan, Sekolah Indonesian Community Center Muar mempamerkan keindahan tari Jawa, diikuti oleh aksi penuh bersemangat daripada Persatuan Seni Silat Warisan Nusantara. Sementara itu, Kumpulan Tari Seri Maharani Muar memperlihatkan lenggok indah tarian zapin yang menjadi kebanggaan masyarakat Muar Johor.

Program ini dianjurkan oleh Koperasi Mbah Anang Muar Berhad dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, Kelab Gamelan Nadasukma, dan Kelab Anjung Melayu, serta mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Daerah Muar, Bandar Maharani, dan Majlis Kebudayaan Daerah Muar.

Penganjuran Warisan Bahtera Merdeka mendapat sokongan erat daripada pihak berkuasa tempatan, termasuk Pejabat Daerah Muar dan Majlis Kebudayaan Daerah Muar. Sokongan ini membuktikan kesedaran bersama bahawa warisan bukan sekadar tinggalan, tetapi aset penting dalam pembangunan masyarakat dan identiti negara.

Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Bandar Maharani turut menzahirkan sokongan sebagai tanda keprihatinan terhadap kelestarian seni dan budaya setempat, selari dengan usaha menjadikan Muar sebagai bandar berbudaya dan destinasi pelancongan warisan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi