Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Merdeka Suka Cipta 2025 yang berlangsung dari 12 September 2025 hingga 14 September 2025 di Balai Seni diadakan bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Menurut Balai Seni Negara, program ini merupakan sebuah inisiatif kreatif bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Program ini turut dianjurkan bersempena dengan ulang tahun Balai Seni Negara yang ke-67, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap negara melalui seni visual, ciptaan inovatif, teknologi ringkas, bahan kitar semula dan media digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Balai Seni Negara berkata, Merdeka Suka Cipta 2025 menyajikan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Antara pengisian utama program termasuklah Pertandingan Seni Lukis Kanak-kanak dengan tema “Impian Saya untuk Malaysia” yang dibahagikan kepada empat kategori, iaitu Kategori Khas; Kategori A (5 tahun hingga 6 tahun); Kategori B (7 tahun hingga 9 tahun) dan Kategori C (10 tahun hingga 12 tahun).
Selain itu, Pertandingan Reka Cipta Arca dan Instalasi yang mengetengahkan tema “Inspirasi Minda, Cerita dari Tanah Merdeka” dibuka kepada penyertaan pelajar berumur 13 tahun hingga 17 tahun.

Pertandingan Seni Lukis Figuratif pula menampilkan dua kategori, iaitu Kategori A (18 tahun hingga 25 tahun) dan Kategori B (26 tahun dan ke atas) yang memberikan ruang kepada generasi muda dan dewasa untuk mengekspresikan idea secara kreatif.
Menurut Balai Seni Negara, Pertandingan Kreasi Reka Kostum Inspirasi dari Koleksi Seni Negara turut diadakan dengan empat kategori, iaitu Kategori A (6 tahun); Kategori B (7 tahun hingga 12 tahun); Kategori C (13 tahun hingga 17 tahun) dan Kategori D (18 tahun dan ke atas).
Menariknya, pada tahun ini, penyertaan bagi Kategori A dan Kategori B turut dibuka secara duo yang membolehkan peserta cilik menonjolkan kreativiti mereka dalam bentuk persembahan berpasangan yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Tambahnya, program ini turut dimeriahkan dengan pertandingan kreatif komuniti seperti Wall of Battle, Art Pacak, Skateboard dan Fingerboard yang menjanjikan kelainan serta keterlibatan belia dan masyarakat umum.
Katanya, sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pound workout, zumba, borak santai, bengkel seni, tayangan animasi, aktiviti panjat tembok dan persembahan pentas yang sesuai untuk seisi keluarga.
“Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati hidangan daripada jualan trak makanan di samping mengunjungi lebih 20 reruai yang menampilkan produk seni tempatan,” tambahnya.
Orang ramai turut berpeluang meluangkan masa bersama-sama keluarga dengan melawat galeri Balai Seni Negara yang dibuka hingga pukul 10.00 malam pada hari Jumaat dan Sabtu, serta hingga pukul 6.00 petang pada hari Ahad.
“Program ini bukan sahaja mencetuskan keterujaan melalui pelbagai aktiviti seni dan budaya, malah turut menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan masyarakat,” jelasnya.
Menurut Balai Seni Negara, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, penganjuran kali ini menekankan nilai kreativiti, keterangkuman dan kesejahteraan komuniti.
Katanya, memasuki edisi ketiga, Merdeka Suka Cipta terus menjadi medium merentas generasi yang mendorong integrasi sosial melalui penghayatan seni dan budaya tempatan, seterusnya menonjolkan seni dan budaya sebagai wadah penyatuan masyarakat.
Program ini diharap dapat menjadi landasan berterusan untuk menyemarakkan semangat patriotik, memperkukuh perpaduan serta memupuk penghargaan masyarakat terhadap seni dan budaya tanah air.
Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot pada 13 September lalu.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), YBrs. Tuan Shaik Rizal Sulaiman, Ketua Pengarah LPSVN, Encik Amerrudin Ahmad, Ahli-ahli Lembaga LPSVN, pegawai kanan MOTAC, wakil jabatan dan agensi, rakan kerjasama strategik, serta para penggiat seni.