Diterbitkan pada 17 September 2025, 08:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Malaysia sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah sambutan World Tourism Day (WTD) 2025 dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September ini di Melaka Bandaraya Bersejarah.

Acara bertaraf antarabangsa ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama UN Tourism.

Dengan tema “Tourism and Sustainable Transformation”, persidangan ini akan memberi tumpuan kepada bagaimana sektor pelancongan boleh menjadi pemangkin pembangunan mampan, sejajar dengan agenda global dalam menghadapi cabaran ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran kali ini kerana statusnya sebagai bandar warisan dunia UNESCO yang kaya dengan sejarah, budaya serta mempunyai tarikan tersendiri.

Perkara tersebut memberikan peluang kepada Malaysia untuk mempamerkan kekayaan khazanah warisan serta komitmen negara dalam memperkukuh industri pelancongan secara lestari.

Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta dari seluruh dunia akan berhimpun bagi berkongsi idea, pengalaman dan inovasi dalam sektor pelancongan. Antara isu-isu utama yang bakal dibincangkan termasuklah transformasi digital, pembangunan destinasi mesra alam, serta peranan komuniti tempatan dalam menjadikan pelancongan lebih inklusif.

Selain itu, persidangan ini turut memberi peluang kepada pelbagai pemain-pemain industri tempatan, khususnya pengusaha kecil dan sederhana (IKS) untuk mengetengahkan produk serta perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa.

Hal ini seiring dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat pelancongan utama rantau ini, selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026.

Penganjuran acara ini dijangka memberi limpahan ekonomi yang besar bukan sahaja kepada sektor pelancongan, malah juga kepada industri-industri yang lain seperti: perhotelan, pengangkutan, makanan, dan peruncitan. Lebih penting lagi, ia membuka ruang kepada Malaysia untuk terus memperkukuh imej sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman unik berasaskan budaya, sejarah, dan kelestarian.

Dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 di bumi Melaka, Malaysia bukan sahaja meraikan peranan penting dalam industri pelancongan, tetapi juga menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa negara ini bersedia menjadi peneraju dalam pelancongan mampan dan berdaya saing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi