Diterbitkan pada 18 September 2025, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia bersiap siaga untuk menjadi tumpuan dunia sekali lagi apabila GLOBALMEET 2025 yang bakal dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 1 Oktober 2025 hingga 3 Oktober 2025 menjadi pemangkin kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang menyasarkan ketibaan berjuta-juta pelancong antarabangsa.

Acara berprestij anjuran Tourism Malaysia ini mengangkat tema “Malaysia – Where the World Meets” yang menampilkan Malaysia sebagai pusat pertemuan antarabangsa dalam bidang pelancongan, perdagangan dan budaya.

GLOBALMEET 2025 dijangka menghimpunkan ribuan pemain industri pelancongan, penggiat budaya dan perniagaan dari seluruh dunia.

TMM2026 dijangka memberikan limpahan ekonomi besar kepada negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan serantau dan global.

Sepanjang tiga hari penganjuran GLOBALMEET, pelbagai acara utama akan berlangsung termasuklah pameran pelancongan antarabangsa, sesi forum industri, persembahan budaya dan peluang kerjasama perniagaan.

Malaysia akan mengambil peluang ini untuk mengetengahkan keunikan produk pelancongan baharu, tarikan alam semula jadi, destinasi mesra Muslim serta pakej mesra keluarga yang mampu menambat hati para pelancong.

Selain promosi destinasi, GLOBALMEET turut membuka laluan kerjasama strategik dalam bidang tertentu seperti teknologi pelancongan, pemasaran digital dan pelaburan sektor hospitaliti. Kehadiran ribuan peserta antarabangsa bukan sahaja mengukuhkan hubungan industri, malah memberikan kesan positif terhadap ekonomi tempatan, khususnya sektor perhotelan, pengangkutan dan peruncitan.

Acara ini juga akan memperkenalkan maskot rasmi TMM2026, iaitu dua ekor beruang matahari yang melambangkan keramahan rakyat dan keunikan Malaysia. Kehadiran maskot ini bakal menyemarakkan lagi promosi kempen menjelang tahun 2026, sekali gus menarik perhatian pelancong pelbagai peringkat umur.

Tourism Malaysia menegaskan bahawa GLOBALMEET 2025 ialah platform penting untuk membina momentum menuju TMM2026.

“Kita mahu memastikan Malaysia tampil bersedia bukan sahaja dari segi produk pelancongan, malah pengalaman yang ditawarkan kepada pelancong antarabangsa,” jelas wakil Tourism Malaysia.

Untuk maklumat lanjut tentang GLOBALMEET 2025, orang ramai boleh melayari laman sesawang: www.tourism.gov.my atau menghubungi sekretariat di [email protected].

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi