Diterbitkan pada 19 September 2025, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muar – Keraton Mbah Anang sekali lagi telah menjadi saksi kepada penganjuran Festival Wong Jowo, baru-baru ini.

Festival yang diadakan secara besar-besaran ini menghimpunkan ratusan peserta dari Malaysia dan Indonesia serta menarik kehadiran masyarakat setempat yang ingin merasai keunikan seni dan budaya Jawa.

Membuka tirai festival dengan aktiviti Rewang (gotong-royong) di Keraton Mbah Anang bersama warga kampung Parit Bugis, Muar. Tradisi rewang bukan sekadar persiapan kenduri malah merupakan simbol kesepaduan masyarakat.

Selain itu, kelas-kelas kebudayaan turut menjadi tumpuan khalayak. Kelas Gamelan Jawa dikendalikan oleh Gamelan Nadasukma Malaysia bersama Tyasmalaka Surabaya, manakala kelas bahasa Jawa pula menarik minat pelajar dan masyarakat untuk mendalami bahasa ibunda warisan nenek moyang.

Tidak ketinggalan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan Adat Resepsi Jawa di Keraton Mbah Anang yang menampilkan kelengkapan tradisi penuh simbolik.

Pada sebelah malam, dua segmen persembahan utama menjadi acara kemuncak, iaitu Malam Ruwatan dan Malam Tresno Budoyo.

Malam Ruwatan mempersembahkan pelbagai seni tradisional Jawa seperti gamelan, silat, kompang jidur, tarian serta dramatari barongan oleh kumpulan Sri Agong Gemala Reog atau PERSEMAR.

Kehadiran artis jemputan seperti Hermantino, Wak Mustar, DJ Pool serta kugiran Wak Jeng menambah warna pada malam tersebut.

Manakala Malam Tresno Budoyo pula mengetengahkan persembahan gamelan, silat, serta Wayang Kulit Purwa oleh Tyasmalaka Surabaya. Malam itu turut diserikan dengan kehadiran artis tanah air terkenal, iaitu Uji Rashid, J Mizan, dan Shafie Rio serta persembahan kugiran ASWARA.

Penganjuran festival ini merupakan acara dwitahunan yang telah bermula pada tahun 2023 di lokasi yang sama. Kejayaan penganjuran edisi sulung pada 2023 telah menjadi satu bentuk anjakan paradigma kepada kesinambungan festival kali ini, sekali gus membuktikan bahawa sambutan masyarakat terhadap seni budaya Jawa amat menggalakkan.

Festival Wong Jowo 2025 disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui pemerolehan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2025, manakala kerjasama erat turut dizahirkan oleh pelbagai institusi ternama seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, Gamelan Nadasukma Malaysia dan Koperasi Mbah Anang Muar Berhad.

Festival Wong Jowo 2025 ini turut mendapat dukungan rakan penggiat seni termasuk Persatuan Seni Silat Warisan Nusantara, Tyasmalaka Surabaya, Sekolah Indonesian Community Centre (ICC) Muar, Tari Sri Maharani Muar, Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam Melaka dan Persatuan Seni dan Budaya Jawa Muar (PERSEMAR).

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kenamaan antaranya En. Rosnan  Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara; En. Rashid bin Abdullah, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor; Laksamana Johor Anas bin Md Ruzki, Ketua Dewan Majlis Perguruan PERSILAT Johor; serta Ts. Dr. Nor Azizi bin Yusoff dari Muar Living Lab, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi