Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan, atau dikenali sebagai Financial Services Library (FSL), secara rasminya melancarkan Program Citra Kata Karnival Baca Perdana 2025, atau World of Words Kuala Lumpur Reading Campaign (WOWKL), di Sasana Kijang, baru-baru ini.
WOWKL merupakan sebahagian daripada inisiatif kebangsaan untuk memupuk budaya membaca di seluruh Malaysia, dengan tumpuan khusus diberikan kepada pendidikan kewangan.
Kempen ini menyokong peranan FSL sebagai pusat ilmu, yang menggalakkan pembacaan dan pendidikan kewangan melalui kandungan yang disusun khas serta pendekatan interaktif.
Antara sorotan utama aktiviti ini termasuklah forum panel yang menghimpunkan penulis, penerbit dan pemimpin berwawasan untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan perspektif tentang budaya membaca dan hala tuju pembacaan pada masa hadapan.
Selain itu, WOWKL turut menganjurkan Bengkel Literasi Kewangan, direka khusus untuk berinteraksi dan mendidik remaja mengenal konsep kewangan yang penting.
Menurut Noreen Zulkepli, Pengarah FSL, WOWKL bukan sekadar kempen membaca, namun merupakan gerakan yang bertujuan untuk memperkasakan rakyat Malaysia menerusi pembacaan dan pendidikan kewangan.
Dengan menghimpunkan pelbagai komuniti, kempen ini diharapkan dapat mencetuskan semangat pembelajaran sepanjang hayat dan penerapan keputusan yang bijak berasaskan maklumat yang mencukupi.
“WOWKL menggalakkan aktiviti membaca dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan dan industri kewangan. WOWKL bukan hanya mengetengahkan sumber tradisional seperti buku dan jurnal, malah wadah-wadah baharu seperti media sosial, blog, audio siar dan platform digital, menjadikan aktiviti membaca lebih menyeluruh, relevan dan lestari,” kata beliau.
Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (FSL) merupakan pusat keilmuan yang membolehkan pengunjung menerokai dunia ekonomi, perbankan dan kewangan yang dinamik melalui sumber yang mudah diakses dan suasana yang mesra.

Terbuka kepada seluruh masyarakat, FSL menyediakan sokongan yang menyeluruh untuk penyelidikan, pembangunan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat.
Meneguhkan peranannya dalam pendidikan kewangan dan menyantuni orang ramai, FSL komited untuk menjadikan ilmu pengetahuan lebih mudah diakses dan menarik, serta memperkasakan komuniti yang pelbagai untuk berinteraksi dengan landskap kewangan Malaysia secara bermakna.
FSL juga berdedikasi untuk mewujudkan hubungan yang bermakna bersama-sama warga BNM, rakan strategik dan orang ramai. Pengalaman pengunjung dipertingkatkan melalui pameran, program khas dan aktiviti jangkauan yang memperkukuh serta memperkaya komuniti dari pelbagai latar belakang.
