Diterbitkan pada 22 September 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YBhg. Dato’ Tamimi Siregar, Rosli Rahman Adam, Liza Abdullah, YBhg. Dato’ Ziela Jalil dan Amy Mastura antara yang menghidupkan semula kehebatan Allahyarham Dr. Rosminah Mohd Tahir, tokoh besar teater tanah air menerusi teater berjudul Cik Ros: Kisah Dr. Rosminah Tahir, di Auditorium DBP, baru-baru ini.

Para pelakon veteran tersebut dibantu oleh pelakon-pelakon berbakat besar seperti Sharul Mizad, Juhara Ayob, Zaifri Husin, Zera Hariz, Serra Kamal, Faysal Saad, Lim Mei Fen, Erman Ghazali dan Pavy Raj.

Lakonan padu dan mantap mereka berjaya menimbulkan rasa gembira dan sedih tepat pada ketikanya. Menerusi aksi monolog dan berbalas dialog, mereka menceritakan pengalaman suka duka di sepanjang bekerja dengan Dr. Rosminah, serta memberikan pandangan terhadap keperibadian Allahyarham.

Dalam monolog berunsur komedi, Sharul, pengurus pentas dan pelakon berpengalaman, menghimbau awal perkenalan kemudian persahabatannya dengan Rosminah, serta membantu penerbitan Muzikal Lantai T. Pinkie (MLTP) dari tahun 1997 hingga 2023.

Juhara kemudiannya antara lain menceritakan bagaimana evolusi beliau diberikan kepercayaan membawa watak T. Pinkie dalam MLTP, hasil pengalaman pahit manis dibimbing oleh Rosminah.

Pelakon-pelakon muda Zera, Serra, Faysal dan Pavy turut memikat penonton dengan dialog dan aksi lakon semula mereka mengenai pengalaman berlakon di bawah arahan Allahyarham.

Rosli Rahman Adam (tengah) menceritakan pengalaman berteater dengan Rosminah Tahir.

Zera dan Faysal masih segar dengan lakonan masing-masing sebagai Pinkie dan Muhairi Muda dalam MLTP, arahan terakhir Rosminah itu pada tahun 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Rosli kemudian menceritakan pengalaman berteater bersama-sama Rosminah kepada empat pelakon tersebut dan para penonton. Seterusnya, Zaifri tampil menyanyi di samping mempersembahkan lakonan mengenai pengalaman bersahabat, dan bekerja dengan Rosminah.

Amy yang terkenal dengan lagu Meniti Hari, bukan sahaja merdu menyanyi, tetapi juga mampu berlakon dengan baik, terutamanya separa komedi apabila mengenang kembali pengalaman berlakon sebagai Anggun, di bawah arahan Allahyarham dalam teater Nyonya & The Gang (2013).

Liza dan Ziela kemudian tampil bercerita pengalaman mereka berlakon dalam teater Nyonya (2022) yang menyeronokkan walaupun kadang-kadang berasa serik.

Mei Fen, pelakon muda dari Akademi Filem Beijeng yang pernah membintangi filem Prebet Sapu (2021) bersama-sama Amerul Affendi, turut mengagumi dan menghormati Rosminah sebagai gurunya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Juhara Ayob menceritakan evolusi beliau diberikan kepercayaan membawa watak T. Pinkie, hasil pengalaman pahit manis dibimbing oleh Rosminah Tahir.

Akhir sekali, Dato’ Tamimi tampil dalam watak Muhairi Tua (MLTP/2023) mendendangkan gurindam Cik Ros, karya Roslan Madun, dan mendeklamasikan sebuah sajak dedikasi.

Faysal mengakhiri pementasan Cik Ros: Kisah Dr. Rosminah Tahir dengan nyanyian lagu Ros Rupawan, ciptaan Ezee Klasik dan Asry Hasan. Menariknya, pementasan ditutup dengan sorotan lampu kepada sepasang kasut milik Allahyarham, simbolik bagi “alat” beliau “mendidik” semasa mengarah teater.

Cik Ros: Kisah Dr. Rosminah Tahir merupakan produksi Abada Global Resources (AGR), bersama-sama CTRA Production dengan sokongan DBP, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Persatuan Gerakan Anak Seni (GAS), serta Malaysia Gazette.

Pengarahnya Hamzah Tahir, adik Allahyarham Rosminah sendiri dengan olahan Sty Mat Desa, sebagai Pengarah Projek, yang diinspirasikan daripada pengalaman sebenar rakan sekerja, pelakon, tenaga produksi dan bekas pelajar yang pernah mengenali arwah.

Hamzah memberitahu, mengarah teater Cik Ros: Kisah Dr. Rosminah Tahir memang sukar kerana Allahyarham terlalu dekat di hatinya.

“Sejak arwah pergi lebih setahun lalu, hampir setiap hari saya mengingatinya. Jadi, apabila naskhah ini mula dirancang, saya tahu bukan sekadar produksi biasa, tetapi perjalanan emosi. Semasa awal perbincangan, apabila orang mula berkongsi cerita mengenai Kak Ros, saya sudah tidak mampu mengawal perasaan,” jelasnya.

Berat untuk ditanggung, tambah Hamzah, kerana hubungannya dengan Allahyarham terlalu rapat. Jelas Hamzah, antara kekuatan teater ini adalah barisan pelakon yang pernah bekerja rapat dengan Rosminah seperti Tamimi, Rosli, Liza, Ziela, dan Amy.

Apabila mereka beraksi di pentas, apa yang dipersembahkan adalah refleksi sebenar daripada kenangan bersama-sama arwah yang tegas-penyayang, bukan garang tidak bertempat.

“Sebagai pengarah, saya mahu teater ini bukan hanya mengangkat sisi profesional arwah, tetapi juga sisi peribadi yang jarang diketahui umum,” ujar beliau mengenai teater ini yang turut menyelitkan keratan akhbar, dokumentasi dan catatan aktiviti seni arwah sebagai gambaran untuk generasi baharu”

“Kita tahu mungkin ada penonton yang tidak pernah mengenali Kak Ros. Kami rangka struktur penceritaan seolah-olah meleret dari satu cerita ke cerita lain, supaya penonton faham perjalanan seni dan kehidupan Kak Ros.” ujar Hamzah.

Pementasan Cik Ros: Kisah Dr. Rosminah Tahir turut didukung oleh tenaga kreatif-berpengalaman seperti Sitiroy Tan (Penerbit/CTRA Production), Jan Ghazi (Penerbit dan Pereka Grafik), Noraida Che Mustafa (Pengurus Tugas Khas), Fahezul Azri Suhaimi (Koreografer dan Penolong Pengarah), Faizal Fauzi (Koordinator Muzik), Along Hazirin (Pereka Set dan Prop), Naque Ariffin (Pereka Tatacahaya), Suelela (Pereka Kostum dan Tatarias) dan Adli Shinichi (Pereka Multimedia).

Sepanjang kerjayanya, Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Teater di ASWARA. Selain Lantai T. Pinkie, Nyonya, dan Nyonya& The Gang, arwah turut mengarah Di Bawah Lindungan Kaabah, Muzikal Tun Mahathir, Muzikal Ibu Zain, Li Po, Mak Dara Nyonya, dan Anugerah.

Rosminah meninggal dunia pada usia 65 tahun di kediamannya di Keramat pada 19 Mei tahun 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi