Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJakarta – Penyertaan 70 orang peserta dari 17 buah negara di dunia dalam Indonesia Rights Fair (IRF) yang menjadi acara penting dalam Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2025 (Indonesia Internasional Book Fair (IIBF) 2025) menunjukkan bahawa penerbitan buku bahasa Melayu semakin mendapat tempat pada peringkat global.
Menteri Kebudayaan Republik Indonesia, YBrs. Dr. Fadli Zon dalam ucapan Perasmian Pembukaan IIBF 2025 semalam berkata, meskipun dunia penerbitan buku terpaksa berdepan dengan cabaran perkembangan teknologi maklumat dan era digital, namun buku tetap menjadi alat “diplomasi budaya” yang bukan sahaja memperkenalkan kearifan tempatan, memperkuat jati diri, malahan membina peradaban bangsa.

“Budaya membaca hendaklah disemai sejak kecil agar menjadi amalan, bak kata pepatah, ‘alah bisa tegal biasa’. Kandungan buku yang diterbitkan hendaklah berkualiti, mampu membangkitkan kesedaran dan mempunyai hala tuju.
“IIBF 2025 bukan hanya suatu pesta, malah mampu menjadi wadah “diplomasi budaya”, serta hab bertemu, berdialog dan berinspirasi, sesuai dengan temanya “Menjelajahi Konten, Mencerahkan Pikiran dan Memperkuat Budaya Literasi,” katanya.
Inisiatif Kementerian Kebudayaan Indonesia memperkenalkan program Manajemen Talenta Nasional (MTN) Seni Budaya, Translation Funding sebagai suatu inisiatif menggiatkan penterjemahan karya Indonesia ke pelbagai bahasa dunia haruslah menjadi contoh kepada negara Dunia Melayu. Program Indonesia Rights Fair Fellowship Program 2025 seperti Story Market dan Lit Connect yang diperkenalkan mengundang para penerbit antarabangsa untuk mendalami kearifan tempatan Dunia Melayu yang boleh diangkat sebagai “Karya Besar Dunia Melayu”.
IIBF 2025 yang berlangsung pada 24 – 28 September 2025 di Assembly Hall, Jakarta International Convention Center telah menghimpunkan para penulis dan penerbit dari dalam dan luar negara.