Diterbitkan pada 26 September 2025, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Tourism Malaysia buat julung-julung kalinya menganjurkan program Visit Malaysia Travel Meet 2025 (VMTM 2025) bagi memperkasakan inisiatif berskala besar mempromosikan pelancongan domestik.

Tourism Malaysia berkata, penganjuran program tersebut adalah bersempena dengan sambutan World Tourism Day dan World Tourism Conference 2025.

“Penganjuran VMTM 2025 yang diadakan dari 26 – 28 September 2025 di Melaka International Trade Centre (MITC) ialah sebuah pameran pelancongan yang menawarkan dua segmen utama, iaitu sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) melibatkan penggiat industri dan syarikat korporat serta sesi perniagaan kepada pengguna (B2C) yang terbuka kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dengan penawaran pakej pelancongan eksklusif dan harga istimewa daripada lebih 180 pempamer, VMTM 2025 bukan sahaja menyokong perkembangan industri pelancongan, malah berpotensi mendorong syarikat korporat untuk menganjurkan acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di Malaysia.

Menurut Tourism Malaysia, penganjuran VMTM 2025 bertepatan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul selain memperkenalkan kekayaan seni dan budaya negara kepada delegasi antarabangsa yang hadir ke sambutan World Tourism Day, World Tourism Conference 2025 dan Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 di Melaka.

“Selain menawarkan pengalaman unik dengan kepelbagaian aktiviti interaktif kraf, seni, budaya dan makanan warisan, penganjuran VMTM 2025 juga diharap dapat merancakkan lagi pergerakan pelancongan domestik bagi mencapai sasaran ketibaan 280 juta orang pelawat domestik pada tahun 2025 sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026),” ujarnya.

Katanya, antara pakej pelancongan yang ditawarkan termasuklah aktiviti pengembaraan seperti sukan air, alam semula jadi, taman tema dan pengalaman budaya.

Tambahnya, para pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan artis, tarian kebudayaan serta aktiviti cabutan bertuah.

Tourism Malaysia berkata, penganjuran VMTM 2025 turut disertai oleh agensi dan jabatan di bawah MOTAC seperti Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Lembaga Seni Visual Negara, Islamic Tourism Centre (ITC), Jabatan Warisan Negara, Kraftangan Malaysia, Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) dan Hotel Seri Malaysia.

Ujarnya, program ini turut mendapat sokongan daripada badan pelancongan negeri seperti Tourism Melaka, Tourism Pahang, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tourism Perak, Tourism Johor dan Sarawak Tourism Board.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi