Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Karya agung Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said, iaitu Sungai Mengalir Lesu bakal dipentaskan semula di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1 hingga 4 Oktober 2025.
Persembahan terbitan Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama DBP serta Persatuan Badan Budaya DBP itu diarahkan oleh Aris Othman.
Menurut Aris, yang juga Pengerusi Badan Budaya DBP, persembahan kali ini berdasarkan adaptasi asal karya Allahyarham Zakaria Ariffin dan menampilkan pendekatan baharu berbanding dengan pementasan edisi tahun 1997.

“Penonton pasti akan membandingkannya dengan versi terdahulu. Kami menambah elemen plot dan memperkaya watak sampingan agar suasana perang dapat digambarkan dengan lebih berkesan,” katanya dalam sidang media di Menara DBP.
Diterbitkan pada 1967, novel Sungai Mengalir Lesu menyoroti kehidupan masyarakat berbilang kaum sewaktu Perang Dunia Kedua, menekankan nilai perpaduan, toleransi dan ketabahan rakyat.
Pemilihannya sebagai karya pentas disifatkan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan semangat kemanusiaan.
Aris menegaskan bahawa meskipun terdapat penambahbaikan, struktur utama cerita dan nama watak tidak berubah bagi mengekalkan keaslian naskhah.
“Selain mengiktiraf warisan sastera A. Samad Said, persembahan ini juga mengangkat peranan institusi budaya negara dalam memelihara khazanah klasik. Semua sumbangan daripada pementasan akan disalurkan kepada tabung bantuan Gaza, seiring dengan tema cerita yang berlatarbelakangkan peperangan,” ujarnya.
Antara pelakon yang akan menjayakan teater tersebut, termasuklah Akmal Ahmad, Nesa, Shasha Fairus, Roydy Rokidy, Khai Sabri, Megat Adli, Khal Isyaf dan Aloeng Silalahi.
Tiket boleh didapati melalui laman web rasmi DBP, www.dbp.gov.my.
