Diterbitkan pada 1 Oktober 2025, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – CIMB Artober Art & Soul 2025 (CIMB Artober 2025) yang berlangsung pada 26 – 28 September 2025 merupakan acara seni tahunan perdana kendalian CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB” atau “Kumpulan”) bagi mengukuhkan komitmen CIMB membangunkan ekonomi kreatif merentasi ASEAN.

Acara seni utama negara yang berlangsung di Dewan 1, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (“MITEC”) ini merupakan penganjuran tahun kelima dengan matlamat memacu ekonomi kreatif Malaysia.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, YBhg. Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz; diiringi Pengerusi CIMB Group YBhg. Datuk Syed Zaid Albar; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Encik Novan Amirudin pada 26 September 2025.

Delegasi dari Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN turut menghadiri majlis pelancaran rasmi CIMB Artober 2025 yang menyokong kedudukan Malaysia sebagai hab pertukaran kreatif dan kebudayaan di rantau ini.

Hal ini juga membuktikan pengiktirafan dan kepentingan Malaysia sebagai arena seni yang rancak serta hab kreatif dan kebudayaan di rantau ASEAN.

Menurut Encik Novan, seni yang menguatkan suara yang kurang didengari, memupuk rasa empati dan mengukuhkan komuniti. Sama seperti seni, CIMB mengetengahkan diversiti dan memastikan semua meraih kecemerlangan.

Sambil menjelaskan matlamat CIMB adalah untuk memperkasakan pelanggan dan masyarakat, memupuk keterangkuman dan membawa lebih makna untuk masyarakat sekitar ASEAN, Novan menambah bahawa itulah yang menjadikan Artober lebih daripada sekadar pameran seni.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, CIMB Artober yang juga platform inspirasi telah memperoleh lebih RM20 juta yang memanfaatkan komuniti seni dan mengetengahkan kira-kira 1000 buah karya seni setiap tahun.

CIMB Artober 2025 mempamerkan lebih 30 buah galeri dan pengusaha, serta lebih 100 orang karyawan tahun ini, termasuklah Taksu, G13 Gallery, Art+ Contemporary, Galeri Sasha, O Sculpture Art Space dan Richard Koh Projects akan mempamerkan hasil kerja seni mereka.

CIMB turut mengadakan pembidaan seni pada 28 September 2025, dengan hasil bidaan akan disalurkan kepada Gaza, dikendalikan oleh Mercy Malaysia yang mempamerkan mesej jelas terhadap matlamat CIMB untuk memperkasakan pelanggan dan masyarakat.

Pada tahun ini, CIMB Artober juga berinovasi ke arah aspirasi digital, menerusi katalog digital dengan pelbagai dimensi dan kaedah baharu untuk menyaksikan seni, termasuklah fungsi yang membolehkan pengumpul seni menggambarkan karya seni di rumah mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi