Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – KRU Studios dan Astro Shaw mempersembahkan sebuah filem drama penuh konflik dan emosi berjudul 3 Hajat, arahan pelakon dan pengarah prolifik, Zul Huzaimy.
Filem ini menampilkan lakonan hebat pelakon tersohor tanah air, Eman Manan berganding mantap bersama-sama Amerul Affendi serta kemunculan wajah baharu yang dijangka mencuri perhatian, Iman Aneesa.
3 Hajat mengisahkan perjalanan Awang (lakonan Eman), seorang bekas banduan yang bergelut dengan masa akibat penyakit kronik, untuk menunaikan tiga hajat terakhirnya bersama-sama anak tunggalnya, Tawfiq (Amerul).
Namun begitu, hubungan tersebut tidak mudah kerana Tawfiq sendiri bergelut dengan tekanan hidup, dan sejarah hitam yang membelenggu jiwanya. Dia juga dalam kekalutan kerana kerjayanya sebagai pelukis profesional merudum.
Semasa majlis Tayangan dan Sidang Media 3 Hajat di Dadi Cinema, Pavilion KL pada 30 September lalu, Zul Huzaimy memberitahu 3 Hajat bukan sekadar sebuah filem bergenre drama biasa, tetapi satu eksplorasi tentang penebusan, perdamaian dan ikatan kekeluargaan yang disampaikan dalam kualiti sinematik.
“Filem ini mengangkat dua watak anti-hero dengan sisi gelap masing-masing, yang akhirnya dipertemukan dalam keadaan yang hampir mustahil,” jelasnya yang terkejut kerana diminta oleh penerbit untuk memikul tanggungjawab sebagai pengarah.
Berlatarbelakangkan keindahan perkampungan nelayan di Terengganu, penggambaran 3 Hajat mendapat sokongan Kerajaan Negeri Terengganu. Sebuah Tayangan DiRaja turut diadakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman, serta Segala Jajahan Takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu.

Turut menghadiri majlis Tayangan dan Sidang Media 3 Hajat adalah YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim, Penerbit Eksekutif mewakili KRU Studios; YBrs. Muzzamer Rahman, penulis skrip; dan wakil Astro Shaw.
Menurut Dato’ Norman, 3 Hajat menandakan satu detik bersejarah buat KRU Studios kerana ia merupakan filem bergenre drama eksperimental pertama pihaknya.
“Kami berhasrat untuk menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah filem sebegini dalam masa setahun dengan pendekatan penceritaan yang tidak konvensional, sambil menampilkan kepelbagaian budaya, gaya hidup serta latar komuniti di Malaysia,” ujar beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada Astro Shaw yang membantu “membawa” 3 Hajat ke pawagam.
“Seiring dengan eksperimen yang disebutkan, KRU Studios sebenarnya berhajat membawa 3 Hajat ke festival filem antarabangsa. Filem yang tiada adegan ganas dan lasak ini cuba memaparkan kebudayaan Melayu, iaitu sesuatu yang wajar diperlihatkan ke seluruh dunia,” jelas Norman.
Eman pula secara berseloroh memberitahu pada mulanya beliau menyangka KRU Studios membuat tawaran untuk membintangi sambungan Cicakman atau Duyung. Walau bagaimanapun, beliau gembira kerana diberikan watak orang Melayu yang teguh berpegang pada adab, dan adat resam.
“Walaupun berlatarbelakangkan negeri Terengganu, iaitu di Setiu, tetapi masalah yang dihadapi Awang dan Tawfiq adalah umum. Rakyat Malaysia di negeri mana pun ada yang menghadapinya,” ujar Eman.
Filem 3 Hajat yang menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang sarat dengan nilai kekeluargaan, kasih sayang, penyesalan dan pengharapan sebagai antara karya drama paling dinanti tahun ini, ditayangkan di 70 buah pawagam seluruh negara, bermula 2 Oktober 2025.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi www.3hajat.com.
