Diterbitkan pada 9 Oktober 2025, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Festival ANIFEST ‘9 2025 yang berlangsung meriah di KL Gateway Mall melabuhkan tirainya dengan kejayaan yang menyerlahkan semangat, kreativiti dan keutuhan komuniti seni tempatan.

Bertemakan “Variasi & Adaptasi”, edisi kesembilan festival ini terus menjadi pentas penting dalam memperkukuh ekosistem kreatif negara. Bukan sekadar meraikan karya, tetapi turut menghubungkan generasi lama dan baharu dalam dunia animasi, komik, TVET seni dan seni digital. Pertemuan idea dan pengalaman ini melahirkan inspirasi baharu buat industri kreatif Malaysia.

Sebagai platform tahunan yang dinanti-nantikan, ANIFEST berperanan sebagai perhimpunan terbesar komuniti seni dan kreatif di Malaysia. Festival ini menjadi wadah pertemuan antara seniman, pendidik, pelajar, penerbit, pereka dan peminat seni visual untuk bertukar pandangan, menimba pengalaman serta menjalin kerjasama strategik yang merentas bidang.

Tahun ini, festival dua hari tersebut menarik ribuan pengunjung dari seluruh negara, termasuklah wakil institusi pendidikan, studio animasi, penerbit komik dan syarikat teknologi kreatif.

Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Azman Yusof, Pelukis Diraja Selangor, yang dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam dunia seni lukis dan komik tempatan.

Dalam sesi perkongsian inspiratifnya, beliau mengenang perjalanan panjang dalam dunia seni yang penuh cabaran dan perubahan.

“Saya amat berbesar hati dapat bersama menjayakan ANIFEST edisi ke-9 ini. ANIFEST bukan sekadar festival, tetapi keluarga besar komuniti kreatif Malaysia. Inisiatif seperti ini wajar diperluaskan ke cabang-cabang seni lain seperti seni halus,” ujar beliau dengan penuh semangat.

Beliau turut mengimbau kembali era keemasan komik Malaysia sejak 1950-an, ketika pelukis-pelukis tersohor seperti Saidin Yahya, Halim Teh, Raja Hamzah, Alias Kulup, Sulaiman Awang, Mishar (Meor Shariman Hassan), Rizalman, Rosdin, Rejabhad dan Nora memperkenalkan pelbagai gaya dan tema yang mencerminkan identiti tempatan.

Kenangan tersebut mengingatkan generasi kini bahawa seni komik bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan nilai, humor dan budaya rakyat Malaysia.

“Dengan teknologi serba canggih hari ini, tiada sebab generasi muda tidak boleh melangkah lebih jauh. Teruskan perjuangan memartabatkan seni komik dan animasi Malaysia di persada antarabangsa,” pesan beliau penuh makna disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Antara pengisian utama ANIFEST ‘9 2025 ialah Forum ANIFEST bertajuk “Konten Hebat, Konten Selamat” yang dipengerusikan oleh Afiq Zulhilmi Baharudin, serta menampilkan barisan panel terkemuka, iaitu Amin Shabana daripada Komisi Penyiaran Indonesia (KPI), Marzuki Abdullah, Pensyarah daripada Fakulti Animasi dan Multimedia ASWARA, serta Ts. Zulkifly Amirudin, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zingy TV.

Perbincangan forum menekankan kepentingan keseimbangan antara kreativiti, tanggungjawab sosial dan kepekaan budaya dalam penghasilan kandungan. Hal ini sejajar dengan tema festival yang mengangkat adaptasi dan variasi sebagai teras kepada pembangunan industri kreatif yang mampan dan beretika.

Para panel turut menegaskan bahawa setiap karya perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat agar kreativiti tidak menyinggung nilai budaya, agama dan sosial, sebaliknya menjadi wadah yang memperkukuh kefahaman, toleransi serta keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Dalam ucapan penutup, Timbalan Pengerusi Persatuan Festival Seni Kreatif & TVET Malaysia (ANIFEST), Tc. Mohamad Asrol Sani Othman, menzahirkan penghargaan kepada semua penaja, rakan kolaborasi termasuklah Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) yang telah berganding bahu menjayakan festival tahun ini.

Menurut beliau, tema ‘Variasi & Adaptasi’ dipilih bagi menggambarkan keindahan dan kekuatan kepelbagaian dalam dunia seni moden. Malah, melambangkan kemampuan industri kreatif Malaysia untuk terus menyesuaikan diri dengan arus perubahan teknologi, pasaran dan budaya tanpa meninggalkan akar tradisi serta nilai estetika tempatan.

“Gabungan pelbagai cabang seni daripada komik ke animasi, daripada animasi ke produk kreatif memperkukuh nilai dan potensi industri. Dengan ekosistem yang saling melengkapi, kolaborasi harta intelek (IP) dapat berlaku dan melahirkan sinergi yang menghidupkan industri seni tempatan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan pendidikan kreatif dan peranan tenaga pakar dalam membina asas industri yang kukuh. Tanpa kesinambungan ilmu dan bimbingan, katanya, bakat baharu tidak akan mampu berkembang ke peringkat global.

Ucapan beliau diakhiri dengan pesanan inspiratif yang menjadi semangat ANIFEST edisi kali ini:

ANIFEST bukan sekadar festival seni, tetapi ekosistem kolaboratif yang menggabungkan nilai pendidikan, inovasi dan jaringan profesional. ANIFEST turut memberikan ruang kepada peserta untuk membina jenama sendiri, memperkenalkan hasil karya, serta menjalin kerjasama strategik yang mampu diterjemahkan kepada peluang ekonomi kreatif jangka panjang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi