Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 11 Oktober 2025, 19:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Ekspedisi Legasi Manuskrip dan Karya Agung Melayu 2025 menjadi sebuah inisiatif yang signifikan dalam usaha memupuk apresiasi masyarakat, khususnya generasi muda terhadap khazanah keintelektualan bangsa.

Program berkenaan berjaya menghimpunkan 94 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

Penganjuran ekspedisi yang berorientasikan pencarian maklumat (infohunt) itu mengetengahkan pengalaman pembelajaran interaktif berteraskan warisan ilmu dan budaya Melayu.

Pelaksanaannya melibatkan tiga lokasi utama, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan menampilkan pelbagai cabaran ilmiah seperti transliterasi manuskrip Jawi, penggunaan batang resam dalam penulisan Jawi, eksplorasi sejarah, pemeliharaan manuskrip, gubahan tanjak tradisional dan kuiz interaktif.

Menerusi cabaran tersebut, para peserta bukan sahaja diuji pengetahuan tentang manuskrip Melayu dan karya agung bangsa, malah diasuh untuk menghayati nilai estetika, falsafah dan jati diri Melayu dalam konteks semasa.

Ketua Pengarah PNM, YBrs. Encik Edy Irwan Zulkafli berkata, penganjurannya membuktikan bahawa manuskrip Melayu dan karya agung mampu didekati menerusi kaedah yang lebih kreatif dan menyeronokkan oleh generasi muda.

Ketua Pengarah PNM, YBrs. Encik Edy Irwan Zulkafli ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Penutupan Ekspedisi Legasi Manuskrip dan Karya Agung Melayu 2025.

“Kita melihat para peserta daripada pelbagai bangsa dan budaya bersama-sama menyertai ekspedisi ini dengan semangat kebersamaan,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupan program berkenaan di Menara PNM pada Sabtu.

Kata beliau, semangat perpaduan tersebut mencerminkan aspirasi gagasan Malaysia MADANI apabila ilmu dan warisan budaya dijadikan jambatan yang merapatkan jurang perbezaan untuk memperkukuh persefahaman dan perpaduan nasional.

Menurut beliau lagi, persaingan sihat yang wujud sepanjang aktiviti dijalankan menyerlahkan kreativiti, ketajaman minda serta semangat kerjasama para peserta.

Tegas Edy Irwan, kemenangan bukan matlamat utama dalam ekspedisi tersebut, sebaliknya pengalaman yang diperoleh oleh para peserta menjadi kenangan berharga dan pemangkin kepada usaha berterusan untuk mendalami serta memartabatkan warisan negara.

Selain itu, beliau turut menyeru agar manuskrip Melayu dan karya agung dijadikan sumber inspirasi dalam penulisan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan pemikiran baharu demi masa hadapan negara.

“Manuskrip Melayu bukan sekadar helaian lama yang tersimpan di rak pustakaan atau arkib, tetapi sebuah khazanah ilmu yang membimbing generasi akan datang.

“Begitu juga naskhah karya agung Melayu yang sarat dengan pemikiran tokoh, cendekiawan, ahli falsafah dan pemerintah silam yang membentuk identiti dan tamadun bangsa,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan kepada para peserta dalam program ini bahawa mereka bakal menjadi barisan pelapis yang meneruskan legasi pengkajian dan penyelidikan manuskrip.

“Melalui program ini, generasi yang lahir bukan sahaja celik digital, tetapi juga celik sejarah dan budaya, lantas mampu bersaing di pentas dunia dengan penuh keyakinan,” jelasnya lagi.

Program Ekspedisi Legasi Manuskrip dan Karya Agung Melayu 2025 merupakan anjuran PNM dengan kerjasama ANM, DBP, Yayasan Karyawan dan Muzium Kesenian Islam Malaysia bersempena dengan Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan 2025.

Majlis penutupan program itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan) ANM, YBrs. Encik Zaidin Mohd Noor; Timbalan Ketua Pengarah PNM, YBrs. Puan Anisatul-Wahidah Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, YBrs. Dr. Roosfa Hashim.

Barisan peserta dan tetamu kenamaan dalam Majlis Penutupan Ekspedisi Legasi Manuskrip dan Karya Agung Melayu 2025.
Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi