Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sentiasa komited mendukung aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia sebagai asas pembangunan negara.
Menurut KPN dalam satu kenyataan, melalui Belanjawan 2026 yang bertemakan Belanjawan Rakyat, KPN telah diberi peruntukan sebanyak RM767,993,300, iaitu RM650,476,100 ialah Perbelanjaan Mengurus (OE) dan RM117,517,200 ialah Perbelanjaan Pembangunan (DE).
Tambahnya, peruntukan ini meningkat sebanyak 7.96 peratus berbanding dengan tahun 2025.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata, belanjawan ini selari dengan ketetapan hala tuju baharu KPN Tahun 2026, iaitu Pembinaan Negara Bangsa sebagai teras utama untuk memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian di Malaysia.
“Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), KPN turut merangka 21 cadangan inisiatif Pembinaan Negara Bangsa yang sangat penting bagi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang agama, bangsa dan budaya,” tambah beliau.
KPN berkata, beberapa inisiatif khas Belanjawan 2026 turut diumumkan kepada KPN seperti pelaksanaan program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian bagi memupuk semangat perpaduan serta jati diri sebanyak RM55 juta dan memperkasakan peranan Kawasan Rukun Tetangga sebagai penghubung jalin dalam komuniti sebanyak RM55 juta.
“Inisiatif lain juga melibatkan pembinaan tiga pusat aktiviti perpaduan, iaitu di Kompleks Perpaduan Bukit Besar, Kuala Terengganu; Pusat Aktiviti Perpaduan Bandar Seri Iskandar, Perak; Pusat Aktiviti Perpaduan Miri, Sarawak yang bernilai RM46 juta, serta penyediaan dana awal secara geran padanan bagi menggalakkan sektor korporat, dermawan dan pakar warisan untuk meremajakan Muzium Negara berjumlah RM5 juta,” tambahnya.
Selain itu, katanya, inisiatif lain pula melibatkan penambahbaikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak perpaduan di seluruh negara berjumlah RM20 juta, pembukaan Muzium Tekstil di Menara Merdeka 188 sebagai usaha mengetengahkan tekstil dunia Melayu dan potongan cukai kepada individu dan syarikat korporat yang menyumbang secara tunai kepada Akaun Amanah Jabatan Muzium Malaysia.
Ujarnya, dengan hala tuju yang jelas ini, KPN akan terus menjadi peneraju dalam pembinaan masyarakat Malaysia yang harmoni, inklusif dan berpaksikan nilai sejagat yang mendukung semangat Malaysia MADANI.