Diterbitkan pada 13 Oktober 2025, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pekan – Bengkel Layang-Layang Bersama Komuniti OKU Daerah Pekan yang berlangsung pada 11 Oktober 2025 diadakan bertujuan untuk mengekalkan seni warisan budaya negeri ini, di samping memperkukuh semangat kebersamaan, keterangkuman sosial dan penyertaan aktif Orang Kurang Upaya (OKU) dalam bidang sukan.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pekan serta Pejabat Daerah Pekan dengan kerjasama Persatuan Wau dan Layang-Layang Pahang ini diadakan bersempena dengan Hari Sukan Negara peringkat daerah Pekan, Pahang.

Sebanyak 50 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah daripada komuniti OKU menyertai program ini, selain penyertaan sukarelawan belia dan penduduk setempat.

Sepanjang program, peserta diajar teknik pembuatan dan penerbangan layang-layang, sebelum menyaksikan hasil kreativiti masing-masing berterbangan megah di langit Pantai Legenda.

Peserta bengkel menghasilkan layang-layang dengan bimbingan fasilitator.

Layang-layang bersaiz besar dengan corak tradisional Pahang diterbangkan serentak ke udara sebagai kemuncak acara, melambangkan semangat perpaduan dan keindahan warisan budaya negeri ini.

Keterlibatan komuniti OKU dalam program ini bukan sahaja menggambarkan nilai inklusif dan keprihatinan masyarakat, malah membuka ruang kepada golongan istimewa untuk menonjolkan bakat, mengasah kreativiti dan menyelami keindahan warisan permainan rakyat yang kian dilupakan.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pekan, Encik Mohd Shahrizan Robuan, bengkel ini akan diteruskan sebagai platform pembangunan sahsiah dan integrasi sosial komuniti OKU pada peringkat daerah.

“Kami ingin memastikan komuniti OKU turut berpeluang menikmati pengalaman sukan rakyat sambil memupuk semangat kesukanan dan kebersamaan. Hal ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan penyertaan inklusif dalam bidang sukan,” katanya.

Pertunjukan layang-layang gergasi yang memukau pandangan menjadi acara kemuncak bengkel.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wau dan Layang-Layang Pahang, Encik Zulkefli Hussin menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memberikan peluang kepada persatuan tersebut untuk berkongsi kepakaran dalam seni pembuatan layang-layang kecil dan gergasi.

“Program ini julung kali diadakan bersama-sama komuniti OKU, dan kami amat terharu melihat semangat serta kegembiraan mereka. Kami berharap bengkel seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih banyak peserta istimewa,” ujarnya.

Majlis perasmian bengkel disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pekan, YBrs Tuan Azora @ Ahmad Shamsudin yang turut melahirkan rasa bangga atas inisiatif yang berjaya menyatukan komuniti melalui warisan budaya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi