Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Muzium perlu terus bertransformasi daripada hanya “tempat pameran” kepada ruang pembelajaran hidup (muzium hidup) yang menghubungkan masa lalu dan masa depan, di samping merakyatkan muzium dengan menjadikan muzium sebagai milik dan kebanggaan bersama.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Program Nostalgia Anak Kampung: Temasya Riuh Sekampung (NAK) 2025 di Dataran Muzium Negara pada 11 Oktober 2025.
Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Encik Mohamad Sobri Mat Daud, Datuk Aaron menegaskan bahawa muzium perlu menjadi institusi ke hadapan sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam bidang warisan dan identiti kebangsaan.
“Usaha memperluas capaian muzium melalui pendigitalan koleksi, penganjuran program komuniti serta kerjasama strategik dengan sekolah dan universiti juga perlu terus diperkasakan melalui program signifikan seperti Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) dan Bermalam di Muzium,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran NAK memainkan peranan penting untuk menghidupkan semula memori budaya serta memperkenalkan semula permainan tradisional, makanan warisan, muzik dan seni rakyat kepada generasi muda.
Tambah beliau, “Program ini menjadi ruang untuk masyarakat pelbagai kaum berkongsi pengalaman, saling mengenal adat dan cara hidup masing-masing, sekali gus memperkukuh perpaduan nasional,” tambah beliau.
NAK merupakan satu daripada program “tandatangan” Muzium Negara sejak tahun 2016. Setiap tahun, program tersebut akan menampilkan konsep dan aktiviti berdasarkan tema tertentu.
Pada tahun ini, Muzium Negara mengangkat tema “Temasya Riuh Sekampung” untuk memberikan peluang kepada masyarakat untuk menghayati cara hidup masyarakat kampung yang kaya dengan nilai kekeluargaan, semangat perpaduan dan kebersamaan.
Ujar beliau, “Temasya Riuh Sekampung” bukan sekadar menggambarkan kemeriahan fizikal semasa menjayakan majlis keramaian di kampung, malah turut menerapkan amalan gotong-royong, saling membantu dan bekerjasama untuk meneruskan kehidupan seharian.
Antara tarikan utama NAK 2025 termasuklah Pameran Mini yang melibatkan muzium negeri Kedah, Perak, Melaka, Johor dan Kelantan, pertubuhan kebudayaan dan badan bukan kerajaan yang memaparkan tentang adat istiadat, persembahan seni budaya, gastronomi warisan serta kearifan tempatan seperti seni pembuatan tangan, dan kraf tangan daripada masyarakat pelbagai kaum dan negeri di Malaysia.
Pada tahun ini, JMM menampilkan kelainan menerusi aktiviti Rewang Komuniti Madani: “8 Kawah 8 Menu” yang menjadi platform menyatukan masyarakat melalui penyediaan masakan tradisional mengikut negeri seperti Nasi Apollo (Kedah), Gulai Kawah (Kelantan), Wajik (Perak), Daging Tetel Masak Asam Pedas (Melaka) dan Pajeri Nanas (Johor) yang bukan sahaja mengangkat semula budaya rewang yang menonjolkan semangat kerjasama dan amalan gotong-royong, malah mengeratkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah JMM; YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim; Timbalan Ketua Pengarah (Pemuziuman) JMM, Encik Mohd. Razaimi Hamat; Pengarah Muzium Negara, Encik Zamrul Amri Zakaria; serta ketua pengarah dan pegawai kanan jabatan persekutuan dan negeri.