Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Pertandingan Ekspresi Muzik Bahasa Jiwa Bangsa yang julung kali diadakan tahun ini tampil dengan semangat baharu dalam usaha memupuk kecintaan terhadap bahasa kebangsaan melalui seni muzik.
Acara yang berlangsung semalam ini merupakan kesinambungan daripada Ekspresi Muzik Jalanan yang telah memasuki edisi keenam sebelum ditukar nama bagi menekankan peranan bahasa sebagai jiwa bangsa.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini menampilkan lima kumpulan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuklah agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi pendidikan.
Setiap kumpulan mempersembahkan dua buah lagu, iaitu satu lagu ciptaan sendiri bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan satu lagu saduran daripada penyanyi lain.
Antara kumpulan yang mengambil bahagian termasuklah Alunan Muzika dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang membuka persembahan dengan bacaan puisi lagu bertemakan alam, diikuti lagu “Lemak Manis”, diserikan dengan tiupan saksofon.
Rentak Perjalanan dari PLUS Malaysia yang membawa semangat joget dalam lagu “Perjalanan di Lebuh Raya” dan “Bagai Sakti” (M. Nasir dan Siti Nurhaliza).
Suara Jingga dari syarikat swasta yang mempersembahkan lagu ciptaan sendiri bertemakan kasih sayang, selain “Yang Remeh Temeh” oleh Kugiran Pak Pandir.
Mudalela dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Kuala Lumpur menampilkan ahli termuda yang berusia 13 dan 14 tahun. Persembahan mereka dimulakan dengan syair sebelum membawakan “Tanya Sama Itu Hud-Hud” dan “Istana Kita” yang menggunakan metafora bahasa sebagai istana yang perlu dipertahankan.
Dakwah Band dari Kementerian Kewangan mempersembahkan sebuah lagu bertemakan percintaan serta Bahasa Jiwa Bangsa hasil ciptaan mereka sendiri.
Lima Aduka dari SD Guthrie menampilkan “Hati Yang Kau Sakiti” (Rossa) dan “Arjuna”, manakala Buat Orang-Orang Mencintai Muzik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menyampaikan Hujan 21 September nukilan mereka dan sebuah lagu bertemakan kehidupan.
Nada Asia dari syarikat swasta pula membawakan lagu “Bangkit” oleh Salam Muzik dan sebuah lagu asli.
Pertandingan ini dinilai berdasarkan kesungguhan peserta, kesesuaian dengan tema bahasa dan konsep persembahan. Ketua juri, Encik Hairul Anuar Harun menegaskan bahawa kepentingan keseimbangan antara lirik dengan melodi dalam sesebuah lagu, sambil berkongsi tip bahawa lagu yang baik perlu mempunyai baris menarik yang mudah diingati.

Turut menjadi juri ialah Encik Azad M. Ramlan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin, Pengarah DBP Wilayah Selatan.
Dalam rumusan pertandingan, para juri menekankan bahawa penghayatan terhadap tema “Bahasa Jiwa Bangsa” harus dizahirkan bukan sahaja melalui lirik, tetapi juga melalui cara penyampaian dan semangat persembahan.
Lima Aduka muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, diikuti Suara Jingga di tempat kedua (RM3,000) dan Rentak Perjalanan di tempat ketiga (RM2,000). Sementara itu, Nada Asia, Buat Orang-Orang Mencintai Muzik, Dakwah Band, Mudalela dan Alunan Muzika masing-masing menerima sagu hati sebanyak RM500.



Tiga kategori khas turut diperkenalkan, iaitu Lagu Terbaik (Lima Aduka), Lirik Terbaik (Suara Jingga) dan Persembahan Terbaik (Rentak Perjalanan), masing-masing menerima RM300.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari, serta Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md. Yunus.