Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Acara Seni & Suara: Karya Agung Langkawi yang berlangsung di Art Case Galleries, Batu Asah, Langkawi pada 18 dan 19 Oktober lalu telah menghimpunkan penggiat seni dan komuniti bagi meraikan kreativiti, budaya dan warisan Langkawi melalui seni dan puisi.
Program anjuran oleh Balai Seni Negara dan studio Art Case Galleries dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Persatuan Seni Visual Langkawi (LAVAA), Grup Penulis Langkawi (GPL) dan Hasani Books ini dirasmikan oleh tokoh seni dan sastera, YBhg. Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar.
Menariknya, gimik perasmian dilakukan dengan penghasilan mural catan secara langsung oleh para seniman Langkawi berdasarkan puisi yang telah dideklamasikan oleh YBhg. Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar.
Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti pameran lukisan terpilih daripada kumpulan LAVAA dan koleksi Art Case Galleries, pertandingan melukis sketsa, pertandingan mewarna kanak-kanak, aktiviti mewarna batik, pertandingan karom, pertandingan batu seremban, jualan produk tempatan, jualan dan demonstrasi pembuatan kraf, pertandingan pakaian terbaik dan cabutan bertuah.
Selain itu, turut diadakan sesi bual seni yang melibatkan panel Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar yang membicarakan pengalaman awal bergelar seniman dan Encik Pakharudin Sulaiman yang berkongsi pengalaman sebagai pengumpul karya seni.
Kemuncak acara ialah persembahan deklamasi puisi oleh YM Raja Azhar Idris, Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar, Puan Atikah Desa, Cik Intan Syahirah Abd Talib, YM Raja Muhamad Shakir Raja Azhar dan Encik Mikhail Leow Lai Seng yang diringi alunan biola oleh Encik Muhammad Hakiki Syahrudin.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Ayer Hangat, YB Puan Shamsilah Siru, Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Encik Zaslan Zeeha Zainee, Pengurus Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Azmil Munif Bukhari, Pengarah Festival Penulis Langkawi, Puan Murni Hashim, wakil agensi kerajaan dan pelancongan serta para peminat seni.