Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selepas kejayaan pementasaan sulungnya di Melaka pada tahun lalu, karya agung Sulalatus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu bakal dihidupkan semula menerusi Teater Muzikal Sulalatus Salatin 2.0 pada 31 Oktober 2025 hingga 2 November 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pementasan berskala besar dengan pelibatan sebanyak 140 tenaga produksi dan pelakon ini  bakal diterbitkan oleh CTRA Production dengan kerjasama Persatuan Bangsawan Bintang Timur serta mendapat sokongan  kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka (JKKN) dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.

Menurut penerbit, Siti Rohayah Attan, pementasan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Kepengerusian ASEAN 2025 yang bertujuan untuk memperkukuh seni persembahan tempatan berteraskan warisan dan jati diri bangsa.

Sulalatus Salatin 2.0 membawa penonton menelusuri zaman keagungan empayar Melayu maritim, bermula sejak era Raja Iskandar Zulkarnain dan Raja Suran hingga  kemuncak serta kejatuhan Empayar Melaka.

“Antara kisah menarik yang dipersembahkan termasuklah waadat Demang Lebar Daun, kisah Tun Jana Khatib di Temasek, kebijaksanaan Hang Nadim serta kisah cinta Tun Teja dan Hang Nadim,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, teater arahan Zaifri Husin dengan skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim, Siti Roy Tan dan Ezee Klasik itu menggabungkan elemen dramatik, muzik dan tarian bagi mempersembahkan sebuah purbawara muzikal yang bukan sekadar hiburan, malah wadah memperkukuh semangat kebangsaan serta menghargai warisan sejarah Melayu yang menjadi asas peradaban bangsa.

Pementasan ini akan menampilkan pelakon berbakat seperti Nabila Huda (Puteri Gunung Ledang), Adam Lee (Sultan Mahmud Syah), Aris Kadir (Raja Iskandar Zulkarnain/Tun Jana Khatib), Zaidi Omar (Demang Lebar Daun), Zera Hariz (Tun Teja) dan Siti Sarah Jamil (Tun Fatimah), selain penampilan istimewa oleh Rosli Rahman Adam dan Mubarak Majid.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi