Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Menu nasi beriani kambing kurma hasil air tangan pelajar kulinari MSU College Kota Bharu berjaya menambat hati juri sekali gus dinobatkan sebagai johan dalam Cabaran Memasak Bersama-sama ADABI di Dataran Platinum Mall, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Cabaran Memasak Bersama-sama ADABI anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama ADABI dan Sayap Niaga Sdn. Bhd. merupakan salah satu pengisian sempena Karnival Lestari Bahasa yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 23 hingga 25 Oktober 2025.
Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Haji Che Ismail menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak ADABI atas kesediaan mereka menjadi rakan strategik dalam penganjuran Cabaran Memasak Bersama-sama ADABI.
“Usaha ini adalah untuk mendekatkan DBP dengan pelbagai lapisan khalayak, termasuklah golongan bidang kulinari,” katanya ketika sesi penilaian masakan bersama-sama juri.
Tambah beliau, para peserta juga perlu tampil menggunakan bahasa yang baik ketika mempersembahkan pengenalan menu masakan kepada juri, sekali gus berupaya memperkenalkan istilah kulinari dalam bahasa Melayu.
Pertandingan ini disertai oleh 10 pasukan yang menampilkan kepelbagaian cita rasa dan kreativiti dengan tema masakan berasaskan produk ADABI.
Naib Johan dirangkul oleh pasukan dari Universiti Malaysia Kelantan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kolej Vokasional Bachok.
YBrs. Puan Ariza menyempurnakan penyampaian hadiah kepada ketiga-tiga pemenang termasuk tujuh pasukan lain yang menerima hadiah sagu hati.
Pertandingan ini telah dinilai oleh dua orang chef profesional dari Hotel Perdana Kota Bharu, iaitu Chef Wan Mazuan Wan Abd Ghafar dan Chef Ahmad Kamil Imam Ghazali.
Penjurian dibuat secara profesional berdasarkan lima kriteria utama, iaitu rasa dan keseimbangan hidangan, kreativiti dan inovasi, persembahan hidangan, kebersihan serta pematuhan tema.
Turut hadir, Eksekutif Pemasaran ADABI, Puan Nor Atiekah Samsuddin; Pengurus Pemasaran Sayap Niaga Sdn. Bhd., Encik Mohd Azizi Abdullah; dan Pegawai Perhubungan Awam Hotel Perdana Kota Bharu, Puan Nur Awanis Ahmad Rizal.