Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 22:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meraih tiga pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records melalui penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa pada 17 – 26 Oktober 2025, iaitu Anugerah Pemasangan Seni Terbanyak serta Anugerah Pameran Pokok Secara Imersif Pertama di Malaysia dan Pameran Taman Terapung Pertama di Malaysia bagi pameran Mistikal Titiwangsa.

Pencapaian ini sekali gus meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi baharu seni landskap dengan pengalaman alam hijau bertaraf antarabangsa yang kaya dengan seni budaya dan warisan.

Pencapaian ini diumumkan semasa Majlis Perasmian Penutup Festival Taman Kuala Lumpur 2025.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif dalam ucapan beliau menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap pencapaian tersebut.

Menurut beliau, sebanyak 280 900 orang pengunjung telah datang ke Taman Tasik Titiwangsa untuk melawat pameran menarik di festival ini sepanjang 10 hari program ini berlangsung.

Pencapaian ini melebihi anggaran jumlah pengunjung sebanyak 250 000 orang yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Selama 10 hari festival ini berlangsung, Tasik Titiwangsa berubah wajah menjadi ruang yang penuh dengan kehidupan yang menggabungkan keindahan alam, seni budaya, makanan dan inovasi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada pameran Mistikal Titiwangsa yang menjadi tarikan utama festival ini.

“Saya telah menghadiri banyak festival bunga semasa berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini dan pameran Mistikal Titiwangsa ternyata berkelas dunia.

“Dengan menampilkan persembahan landskap dan cahaya dalam suasana taman tropika yang menawan, pameran ini telah menghidupkan legenda Melayu seperti Puteri Gunung Ledang dan cerita rakyat seperti Sang Kancil,” katanya.

Di samping itu, pengiktirafan paling istimewa turut didedikasikan kepada semua pihak yang menjayakan Festival Taman Kuala Lumpur 2025 dengan hiasan sebanyak 68 pemasangan seni atas kejayaan penganugerahan Pemasangan Seni Terbanyak di Festival Taman.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, YBrs. Tuan Ismadi Sakirin dan Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, YBrs. TPr Md. Nazri Abdullah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi