Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Komunikasi sedang meneliti cadangan mewujudkan Hari Muzik Negara bagi mengiktiraf sumbangan penggiat muzik tempatan, serta memperkukuh ekosistem industri muzik negara.
Menurut Menterinya, YB Datuk Fahmi Fadzil, cadangan itu akan dimasukkan dalam siri syor hasil kajian menyeluruh mengenai industri muzik yang telah diselesaikan oleh kementerian beliau bersama-sama MyCreative Ventures.
“Sejak tahun lalu saya telah meminta MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi meneliti kewajaran mewujudkan satu akta khas untuk industri muzik.
“Kajian itu kini telah disiapkan dan akan menjadi asas kepada hala tuju industri berkenaan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Riuh x ASEAN di Stadium Merdeka pada 26 Oktober 2025.
Jelas Datuk Fahmi Fadzil, antara perkara yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri termasuklah penubuhan akta muzik dan sambutan Hari Muzik Negara yang akan meraikan keupayaan pemuzik dalam pelbagai aliran daripada tradisional sehingga kontemporari.
“Saya lihat ada kewajaran untuk kita meraikan sumbangan para pemuzik tempatan. Meskipun telah ada majlis anugerah muzik tertentu, Hari Muzik Negara boleh menjadi wadah lebih menyeluruh untuk menghargai semua genre dan bakat tempatan,” ujar beliau.
Katanya, perbincangan berhubung perkara itu dijangka diadakan dalam masa terdekat sebelum dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri.