Diterbitkan pada 1 November 2025, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muar – Pementasan teater muzikal Jawa sempena Festival Wayang Wong 2025 telah  diadakan di Keraton Mbah Anang, baru-baru ini.

Pementasan berprestij ini menghimpunkan para penggiat seni dari tiga negara (Malaysia, Indonesia dan Singapura) di atas satu pentas naungan Keraton Mbah Anang, malah mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2025.

Menurut pengasas Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johor,  Tuan Haji Johar Paimin, penganjuran tahun ini merupakan kesinambungan daripada Pesta Bulan Mengambang: Edisi Wayang Wong 2024, yang mengetengahkan teater Hilangnya Azimat Kalimasadha.

“Tahun ini, kami membawakan naskhah baharu bertajuk Anoman Obong, di bawah arahan maestro gamelan terkenal, Bapak Dwiono Hermantoro, Skar. Beliau ialah tokoh yang telah banyak menabur bakti dalam memartabatkan budaya Jawa di IPTA Malaysia serta di Keraton Mbah Anang sendiri,” ujar beliau dalam ucapan pembukaannya.

Lakon Wayang Wong “Anoman Obong memaparkan kisah kepahlawanan Anoman, kera putih sakti yang diutus oleh Rama untuk menyelamatkan Dewi Shinta yang diculik oleh Raja Rahwana ke negeri Alengka.

Dengan keberanian dan kesetiaan yang tinggi, Anoman menembusi benteng musuh, menyerahkan cincin amanat kepada Shinta, dan akhirnya ditangkap serta diperintahkan untuk dibakar hidup-hidup.

Namun begitu, disebabkan kesaktiannya, Anoman tidak terbakar malah membakar balik negeri Alengka sebagai simbol kemenangan dan kebenaran atas kezaliman.

Selain itu, turut diadakan kelas Bahasa dan Aksara Jawa yang dikendalikan oleh kumpulan Tyasmalaka bersama mahasiswa KKNT Internasional UNESA Surabaya. Inisiatif ini menjadi wadah pemindahan ilmu bahasa dan tulisan tradisional Jawa kepada masyarakat tempatan khususnya generasi muda Malaysia.

Sebelum itu, acara pembukaan dimeriahkan dengan persembahan tarian klasik Jawa seperti Tari Gambyong, Tari Satria dan Tari Merak.

Program tersebut turut disertai oleh rakan penggiat seni, iaitu Rumah Budaya Indonesia Satu: Sanggar Wayang Gogon dan Sekar Jagad, Surakarta; Telung Turonggo Arts, Singapura; Universitas Negeri Surabaya (UNESA); Tyasmalaka Surabaya; Persatuan Seni Silat Warisan Nusantara; dan Sekolah Indonesian Community Centre (ICC) Muar.

Menurut Tuan Hasmi Hashim (Buddhi Hekayat), budayawan dan penulis terkenal, persembahan seperti ini mempunyai nilai filosofi yang besar terhadap semangat juang nusantara.

Seni ini tidak sekadar tontonan. Wayang Wong mengajar kita tentang budi, kesetiaan dan makna perjuangan. Dalam konteks Malaysia moden, mengingatkan kita kepada akar budaya yang tidak boleh dilupakan, ujarnya dalam sesi penutup malam persembahan.

Majlis penutup Festival Wayang Wong 2025 diserikan dengan persembahan nyanyian istimewa dari ratu irama Malaysia tanah air, iaitu Noraniza Idris dan artis legenda Shafie Rio, yang menambahkan lagi kehangatan malam pementasan Wayang Wong.

Kehadiran penggiat seni dari Indonesia, Singapura dan Malaysia membuktikan bahawa budaya tidak mengenal sempadan. Festival Wayang Wong 2025 bukan sahaja memperkukuh ukhwah budaya tiga negara, tetapi turut membuka ruang kolaborasi baharu dalam bidang seni persembahan, pendidikan, delegasi dan diplomasi budaya.

Menurut Bapak Dwiono Hermantoro yang merangkap sutradara, penulis skrip dan pengarah muzik gamelan Wayang Wong:

“Saya sangat terharu melihat bagaimana masyarakat Jawa di Malaysia menghargai seni budaya leluhur. Ini bukti bahawa warisan Nusantara mampu menyatukan kita tanpa melihat perbezaan. Keraton Mbah Anang telah menjadi simbol terhadap perpaduan budaya bangsa.”

Sebagai penganjur utama, Persatuan Jawa Parit Bugis (PEJAWA) menegaskan komitmennya untuk terus menjadikan Keraton Mbah Anang sebagai pusat kegiatan seni warisan Melayu-Jawa di Malaysia. Festival ini diharap menjadi acara tahunan yang memperkukuh nilai bahasa, budaya dan kesenian serantau selaras dengan hasrat MOTAC untuk memperkaya khazanah budaya negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi