Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan Hari Bandar Sedunia 2025, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengumumkan bahawa Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Bandar Kreatif bagi bidang Reka Bentuk, sekali gus mengukuhkan kedudukan ibu negara sebagai pusat inovasi dan kreativiti serantau.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay ketika mengumumkan 58 bandar baharu yang menyertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN).
“Dengan penambahan 58 buah bandar baharu, kita mengukuhkan jaringan bahawa kreativiti bukan sahaja memperkaya budaya tempatan, tetapi juga menarik pelaburan serta mengukuhkan perpaduan sosial,” katanya yang menekankan peranan penting kreativiti sebagai pemacu pembangunan bandar yang mampan dan inklusif.
Pengiktirafan ini mengiktiraf usaha berterusan Kuala Lumpur untuk memupuk budaya reka bentuk, memperkukuh ekosistem kreatif, serta melibatkan komuniti dalam pembangunan bandar berasaskan idea dan estetika.
Hal ini bukan sekadar penghormatan simbolik, malah merupakan peluang besar untuk Kuala Lumpur terus memperkukuh peranannya sebagai pusat reka bentuk dan inovasi pada peringkat dunia, seiring aspirasi Malaysia menjadi negara berdaya saing dan berbudaya tinggi.
Antara bandar lain di ASEAN yang turut menerima pengiktirafan pada tahun ini termasuklah Malang (Seni Media), Ho Chi Minh City dan Quezon City (Perfileman) dan Songkhla (Gastronomi), manakala bandar lain di luar ASEAN seperti Riyadh (Reka Bentuk), New Orleans (Muzik), São Paulo (Filem), Tangier (Sastera) dan Madinah al-Munawwarah (Gastronomi) dan lain-lain turut memasuki senarai tersebut.
Menariknya, tahun ini turut menandakan kemasukan kategori baharu, iaitu Seni Bina dalam rangkaian UCCN, menjadikan jumlah bidang kreatif kini terbahagi kepada lapan, iaitu Kraf dan Seni Rakyat, Reka Bentuk, Filem, Gastronomi, Sastera, Seni Media, Muzik dan Seni Bina.
Sejak dilancarkan pada tahun 2004, rangkaian UCCN kini merangkumi 408 buah bandar daripada lebih 100 buah negara. Setiap bandar berperanan menggerakkan inisiatif berasaskan kreativiti.
Daripada komuniti perfileman di São Paulo hinggalah inkubator kreatif di Riyadh, semuanya bertujuan untuk membina bandar lebih inklusif, berdaya tahan dan berinovasi tinggi.
Pengiktirafan ini bukan sekadar penghormatan simbolik, malah merupakan peluang besar untuk Kuala Lumpur terus memperkukuh peranannya sebagai pusat reka bentuk dan inovasi pada peringkat dunia, seiring aspirasi Malaysia menjadi negara berdaya saing dan berbudaya tinggi.