Diterbitkan pada 3 November 2025, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Wakil dari negeri Pahang, Puteri Iva Qalisya binti Izwari dan Meesya Varshnee A/P Ragene mencipta kejayaan yang membanggakan apabila berjaya meraih Tempat Kedua (2nd Prize) bagi kategori Duo Junior Singing dalam Pertandingan International Super Grand Prix Barcelona 2025 yang berlangsung dari 22 – 31 Oktober lalu di Lloret de Mar, Barcelona, Sepanyol.

Masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Methodist Kuantan (MGSS) dan SMK Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan mencipta kejayaan tersebut dalam persembahan mantap mereka menerusi lagu Bakawali.

Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan negeri Pahang, malah membuktikan bahawa bakat seni pelajar Malaysia mampu menembusi sempadan antarabangsa.

Menurut Encik Wan Asma Izam bin Wan Mohd, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, kejayaan tersebut menggambarkan komitmen tinggi guru dan pelajar untuk memperkasa potensi diri melalui seni dan budaya.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar kita bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki keunggulan dalam bidang kokurikulum dan seni persembahan.

“Jabatan Pendidikan Pahang amat berbangga dengan usaha gigih para jurulatih serta dedikasi pelajar yang membawa nama negeri dan negara ke peringkat dunia,” ujar beliau.

Sementara itu, Puan Noorul Azreen Kamarudin yang bertindak sebagai jurulatih nyanyian dan vokal serta selaku pegawai pengiring turut meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan bersejarah ini.

“Apabila nama Malaysia diumumkan di pentas antarabangsa, rasa terharu dan bangga itu sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Encik Wan Asma Izam bin Wan Mohd (kanan) bersama-sama Puan Noorul Azreen Kamarudin (kiri) dan wakil Pahang Puteri Iva Qalisya binti Izwari dan Meesya Varshnee A/P Ragene.

Pertandingan berprestij yang menghimpunkan lebih 300 penyertaan dari 13 buah negara itu turut menyaksikan penyertaan daripada sekolah seluruh Malaysia.

Kontinjen Ministry of Education (MOE) @ BSKK Culture Group dari Malaysia berjaya mengungguli lima kategori Tempat Pertama (1st Prize), tiga kategori Tempat Kedua (2nd Prize), dan satu kategori Tempat Ketiga (3rd Prize).

Kontinjen Malaysia diketuai oleh Encik Mahindran Rajagopal, Guru Besar SK Seksyen 18 Shah Alam, dan dibantu oleh para pegawai, jurulatih serta ibu bapa yang turut hadir memberikan sokongan padu kepada peserta.

Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia berjaya mengungguli hadiah seperti yang berikut:

  • Tempat Pertama (Group Mix Dance) – Joget Malaysia (semua peserta, guru dan pegawai).
  • Tempat Pertama (Solo Children Dance) – Elvina Callysta Ammara binti Md Ishak (SK Bandar Sri Alam, Johor).
  • Tempat Pertama (Solo Junior Dance) – Alisha Raisha binti Rohaizat (Sekolah Seni Malaysia, Perak).
  • Tempat Pertama (Duo Junior Dance) – Alisha Raisha binti Rohaizat dan Afina Danisha binti Ahmad Firuz (Sekolah Seni Malaysia Perak).
  • Tempat Pertama (Group Children Dance) – SK Desa Jasmin Nilai, Negeri Sembilan.
  • Tempat Pertana (Group Mix Dance) – Joget Malaysia (semua peserta).
  • Tempat Kedua (Solo Junior Singing) – Bayu Wildan bin Norasrul Aswar (SMK Tunku Ampuan Najihah, Negeri Sembilan).
  • Tempat Kedua (Solo Senior Singing) – Muhammad Rayyan Amsyar bin Mohd Yusree (SMK Guar Chempedak, Kedah).
  • Tempat Kedua (Duo Junior Singing) – Puteri Iva Qalisya binti Izwari dan Meesya Varshnee A/P Ragene (Pahang)
  • Tempat Ketiga (Duo Mix Age Dance) – Mahindran Rajagopal dan Adam Ariq bin Ahmad Amree (Selangor).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) menzahirkan penghargaan kepada semua guru, pegawai dan ibu bapa yang memainkan peranan besar untuk menjayakan misi ini.

KPM turut menyatakan komitmen berterusan untuk menyokong usaha memperkasa bakat pelajar menerusi program seni dan budaya yang bukan sahaja menyuburkan nilai patriotisme, malah memperkukuh identiti kebangsaan di persada antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi