Diterbitkan pada 4 November 2025, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Guangdong in Frames, Souls in Resonance – Chinese Film Week yang bakal berlangsung dari 12 – 16 November 2025 di GSC MyTOWN, di sini, akan menampilkan lima buah karya luar biasa yang diterbitkan di Guangdong.

Acara yang dianjurkan oleh Guangzhou Film Expo dan Guangzhou Performance/TV Ltd. ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah Asia Tenggara, dengan Malaysia sebagai salah satu destinasi utama.

Acara ini turut mendapat sokongan daripada Beyond Frozen Films (Guangzhou) Film & Culture Co., Ltd. dan rakan rasmi Malaysia, Blackflag Sdn. Bhd., manakala GSC International Screens bertindak sebagai Rakan Pawagam Rasmi.

Sebagai acara silang budaya merentas sempadan, minggu filem ini meraikan kehadiran Guangdong yang semakin menonjol dalam dunia perfileman antarabangsa, sambil memperkukuh hubungan kreatif dan emosi antara Guangdong dengan Asia Tenggara melalui medium filem.

Guangdong dan Asia Tenggara,  terutamanya Malaysia dan Thailand telah lama berkongsi hubungan geografi, sejarah dan budaya yang erat.

Lebih 50 tahun lalu, filem opera Teochew Tan San & Ngo Nian yang diterbitkan oleh Pearl River Film Studio mencapai populariti besar di kedua-dua negara tersebut.

Sejak itu, pertukaran filem antara dua wilayah ini berterusan sehingga mewujudkan hubungan Nanyang–Guangdong connection yang masih hidup hingga kini.

Menurut Zhao Meng Fei, Pengarah Guangdong Film & Television Service Platform, serta Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Guangzhou Film Association, Guangzhou Film Expo 2025 akan berlangsung pada bulan Disember ini di Guangzhou, dengan visi untuk menjadi acara berorientasikan pasaran, berpaksikan penonton dan bersambung dengan dunia antarabangsa.

Ekspo tersebut, katanya, bertujuan membina platform perdagangan kukuh bagi industri filem, serta menyumbang kepada aspirasi China untuk menjadi kuasa besar dalam dunia perfileman.

“Menerusi Chinese Film Week ini, kami berbangga mempersembahkan lima buah karya hebat keluaran Guangdong – bukan sahaja sebagai pemanas tirai kepada ekspo yang akan datang, malah sebagai sambutan sinematik untuk para penonton di seluruh Asia Tenggara,” ujar Zhao.

Semua tayangan akan berlangsung di GSC MyTOWN, Kuala Lumpur, dan tiket boleh didapati secara eksklusif melalui kiosk tiket GSC, laman web gsc.com.my, serta Aplikasi Mudah Alih GSC.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi