Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Filem aksi lasak yang dinanti-nantikan tahun ini, Banduan, adaptasi daripada filem “pecah panggung” India yang terkenal Kaithi, mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 6 November 2025.
Dua hari sebelum tayangan umum tersebut, berlangsung Malam Gala Banduan di TGV Cinema Suria KLCC, menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air termasuk Dato’ Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki, Esma Daniel, Adlin Aman Ramlie, Hushairi Husain serta Fadli Masoot, Amir Nafis, Abi Madyan, Hawra, Dayang Areeda, Joshua Michael, Zairi Abdul Aziz dan Meynillan.
Majlis istimewa tersebut turut diserikan dengan kehadiran bintang utama versi asal Kaithi, iaitu Karthi Sivakumar, yang diterbangkan khas ke Kuala Lumpur untuk meraikan tayangan perdana adaptasi Malaysia ini, serta YM Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw & Naib Presiden dan Ketua Perniagaan Melayu Nusantara, Astro Shaw.
Banduan mengajak penonton menyelami detik penuh adrenalin menerusi kisah Dali, lakonan Dato’ Aaron, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas 10 tahun, dengan hasrat bertemu dengan anak perempuannya buat pertama kali.

Namun demikian, perjalanan itu berubah apabila dia secara tidak sengaja terperangkap dalam misi berbahaya bersama-sama Inspektor Johari (Datuk Rosyam), untuk menyelamatkan sekumpulan anggota polis yang diracun, serta pasukan polis yang dijadikan tebusan oleh kumpulan samseng yang ingin membalas dendam.
Kaithi ditayangkan di India dalam bahasa Tamil pada tahun 2019, dan telah meraih kutipan hampir 105 crore (RM58 juta), yang menjadikannya antara filem Tamil paling berjaya pada tahun tersebut, serta menjadi filem pertama lakonan Karthi yang menembusi angka 100 crore.
Banduan versi Malaysia lebih dekat di hati kerana juadah ikonik seperti nasi dagang, hingga ke latar lokasi menampilkan budaya dan elemen tempatan yang menjadikannya sesuatu yang unik.
Filem ini turut menandakan kemunculan semula Aaron sebagai Raja Aksi Lasak Malaysia, yang benar-benar menghidupkan setiap babak pertarungan.
Menariknya, Banduan turut ditayangkan di Kanada, Amerika Syarikat, Brunei dan Singapura serentak pada 6 November 2025. Pelakon terkenal tanah air, Zul Ariffin turut membuat kemunculan istimewa sebagai watak antagonis bernama Zaharuddin.
Menurut Kalyana Devan, Penerbit Eksekutif Filem Banduan, pihaknya memilih filem Kaithi untuk diadaptasi ke versi Malaysia kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang bersifat universal dan menyentuh emosi kemanusiaan.
“Dengan perbezaan budaya yang begitu kecil antara penonton India dengan Malaysia, kami merasakan kisah yang sesuai untuk diolah semula dalam konteks tempatan,” jelas beliau.
Banduan mengekalkan semangat asal Kaithi, tetapi disuaikan dengan latar, bahasa dan budaya Malaysia. Bukan sekadar filem aksi lasak, tetapi kisah tentang kasih sayang, pengorbanan dan penebusan yang menyentuh emosi.

“Harapan kami agar Banduan bukan sahaja diterima baik oleh penonton tempatan, malah turut menjadi jambatan antara industri perfileman India dengan Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan filem tempatan di rantau ini,” ujar Kalyana.
Untuk pengetahuan, pada 23 Oktober 2025, Banduan telah ditayangkan di Kompleks Penjara Kajang, ditonton oleh 80 orang penghuni penjara. Tayangan eksklusif tersebut bagi meraikan penghuni Penjara Kajang, di samping mengadakan sesi perkongsian bertajuk Peluang Kedua, Masih Ada Sinar, bersama-sama pelakon utama.
Gunakan #Banduan untuk berkongsi tentang filem ini di media sosial. Ikuti perkembangan terkini dan klip-klip menarik Banduan di semua akaun media sosial Astro Shaw.