Diterbitkan pada 6 November 2025, 14:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gambang – Peminat teater tanah air, khususnya di negeri Pahang bakal disajikan dengan persembahan teater gamelan bertajuk Tari Tenun Berurai Emas apabila teater tersebut dipentaskan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang pada  22 dan 23 November 2025, pukul 8.30 malam.

Pementasan teater ini merupakan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Gamelan dan Kesenian Lela Indera Pahang, Persatuan Anjung Seni Nilakandi dan UMPSA.

Teater yang sarat dengan nilai warisan budaya ini menggarap sejarah warisan negeri Pahang dengan mengangkat kisah sejarah pendudukan British di negeri Pahang serta kaitannya dengan eksploitasi ekonomi.

Poster teater Tari Tenun Berurai Emas.

Turut dipaparkan kisah perjuangan Mat Kilau, Tok Gajah, Dato’ Bahaman serta pahlawan Melayu Terengganu, antaranya termasuklah Tok Ku Paloh dan Abdul Rahman Limbong yang berjuang membantu penentangan ke atas J.P Rodger dan Hugh Clifford, iaitu Residen British di Pahang.

Dengan menggabungkan elemen tradisional dan lokal negeri Pahang, teater ini menjulang muzik tari gamelan ataupun joget Pahang yang disulami gerak tari dan alunan puisi tradisional seperti gurindam dan syair.

Pihak produksi turut menggubah lagu gamelan baharu sebagai halwa telinga yang merindui alun rentak gamelan.

Melihat susur galur persembahannya, pementasan teater ini mampu menjadi wadah penyampaian sejarah negeri Pahang kepada generasi hari ini.

Sesiapa yang berminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM10.00 untuk pelajar dan RM15.00 untuk orang awam melalui talian telefon 0173183882 atau mengimbas kod QR yang terdapat pada poster.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi