Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Teater Panglima Garang bukan sekadar sebuah naskhah pentas, malah merupakan penghidupan semula sejarah dan jati diri negeri Selangor yang dibaluti semangat kepahlawanan, budaya dan nilai kemanusiaan.
Dengan sokongan utama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, pementasan teater ini telah berjaya dipentaskan oleh Kumpulan Teater Hidayah di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 7 November 2025 hingga 9 November 2025.
Teater yang diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Yusry Kamaruzaman ini membawa penonton menyusuri kisah seorang tokoh sejati, iaitu Panglima Garang yang menjadi simbol keberanian dan keperwiraan Melayu pada penghujung abad ke-18.
Menurut Yusry, Panglima Garang mengangkat genre purbawara, dengan 60 peratus kandungannya berasaskan fakta sejarah sebenar.
“Dalam naskhah yang ditulis oleh Kamarul AR ini, saya selaku pengarah perlu lebih kreatif, terutamanya dari aspek teknikal untuk merangkumkan unsur epik, aksi, lakonan beremosi dan semangat pahlawan,” ujarnya.
Tegas beliau, cabaran utama teater ini bukan sekadar mementaskan kisah sejarah, tetapi memastikan setiap elemen seni – daripada lakon, aksi lasak hinggalah visual – dapat menyentuh hati penonton tanpa kehilangan nilai tradisi dan budaya asal.
Satu daripada kekuatan utama Panglima Garang ialah keseimbangan antara elemen tradisional dengan moden. Teater ini menampilkan seni silat, busana klasik, muzik gamelan dan permainan tradisional, tetapi dalam masa yang sama dirangka agar tetap segar kepada generasi baharu.
“Dalam teater ini, unsur tradisional seperti persilatan, adab budaya dan permainan rakyat digabungkan bersama-sama kisah benar Panglima Garang yang mempunyai pelbagai versi dalam kalangan masyarakat setempat,” jelas Yusry.
Tambah beliau, untuk memastikan keasliannya, pihak produksi turut merujuk sejarawan serta waris keturunan tokoh ini.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberikan roh kepada watak dan jalan cerita, malah menjadi jambatan antara sejarah dengan seni persembahan moden, yang menjadikan Panglima Garang sebuah karya yang hidup dan bernafas dengan nilai budaya yang kuat,” ujarnya.
Walaupun berdepan dengan kekangan bajet untuk menggunakan teknologi multimedia, Yusry tetap tampil dengan pendekatan kreatif bagi memberikan impak visual yang luar biasa kepada penonton.
“Kreativiti dan nilai artistik penting untuk menghasilkan persembahan yang mengagumkan, walaupun tanpa teknologi tinggi. Antara detik menarik dalam teater ini termasuklah babak pertarungan dengan seekor harimau ganas yang pasti membuat penonton terpegun,” katanya.
Dengan pengalaman lebih 12 tahun mengarah pelbagai pementasan teater, Panglima Garang menjadi bukti kematangan Yusry sebagai seorang pengarah yang bukan sahaja memahami selok-belok pentas, bahkan turut memiliki jiwa yang dekat dengan akar budaya bangsa.