Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Siri Syarahan Kebudayaan 2025 yang dianjurkan oleh Riwayat, SVARA dan Krom Studio dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Inisiatif Buku Darul Ehsan dan Obscura telah menyingkap 100 Tahun Sasterawan Negara yang dikenali sebagai Arena Wati atau Dr. Muhammad Dahlan bin Abdul Biang yang berlangsung di Muzium Telekom Malaysia, Kuala Lumpur pada hari ini.
Arena Wati merupakan Sasterawan Negara Kelima pada tahun 1987, membesar di Sulawesi dan meninggal dunia pada tahun 2009 ketika berusia 84 tahun. Begitu banyak karya yang dihasilkan beliau dari umur belasan tahun hingga menghembus nafasnya yang terakhir. Difahamkan beliau telah menghasilkan sebanyak 33 karya dibawah terbitan DBP dan banyak lagi dengan penerbit lain.
Nama beliau mungkin jarang-jarang disebut seperti Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said atau Dato’ Shahnon Ahmad, namun beliau mempunyai karya-karya yang cukup memberikan impak besar kerana beliau membesar dengan dunia kesusasteraan Melayu.
Bagi menyorot kembali sejarah beliau melalui tema “Gelora Laut dan Tekad Anak Jantan”, lima ahli panel diundang bagi mengulas tentang figura sastera ini. Yang menariknya, mereka terdiri daripada generasi berbeza yang mengenali beliau secara peribadi dan ada mengenali beliau melalui naskah-naskahnya. Forum pada hari ini dikendalikan oleh Penolong Pengarang Berita Harian, Puan Hafizah Iszahanid.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, YBrs. Dr. Roosfa Hashim berkata, Arena Wati merupakan pengarang, pemikir dan pejuang bahasa kerana sebelum mengendalikan manuskrip, beliau perlu membacanya dengan teliti.
“Saya bertemu Arena Wati pada tahun 1990 di Universiti Kebangsaan Malaysia dan beliau pada ketika itu sudah memenangi SEA Write Award. Karya beliau “Endah Gulingku” membuatkan saya harus bertemu dengan beliau. Beza usia saya dengan beliau ialah 37 tahun. Bayangkan seorang anak muda yang telah menerima manuskrip beliau, tetapi saya cuba menyakinkan diri pada waktu itu bahawa saya boleh mengendalikan beliau.

“Arena Wati pada ketika itu berfikir tentang kaedah yang boleh dilakukan oleh orang muda untuk menerbitkan bukunya. Hal ini demikian kerana terlalu banyak plot, watak dan nama sebahagian besarnya melibatkan orang Bugis. Oleh itu, Arena Wati ialah orang yang merentas zaman daripada zaman Belanda dijajah hinggalah ke zaman kemerdekaan,”ujarnya.
Begitu juga dengan Encik Mohd Zin Mahmud, mantan wartawan kanan dari Utusan Malaysia turut memberikan gambaran bahawa Arena Wati merupakan seorang yang begitu menarik bahkan masyarakat boleh mempelajari daripada memoir beliau tentang realiti kehidupan.
Sementara itu, penulis blog, Puan Norsamila Samsudin pula mengimbau zaman persekolahanya ketika menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) semasa mula-mula berjinak dalam duhia sastera. Beliau begitu takjub dengan buku Arena Wati yang bertajuk Panrita.
“Buku tersebut menceritakan gabungan tentang agama, politik dan sosial. Arena Wati merupakan seorang penukil karya yang malar hijau hingga kini. Beliau merupakan penulis yang meletakkan tintanya dalam satu bahasa yang sangat lembut dan penuh dengan analogi. Beliau juga mahir menggunakan bahasa perlambangan. Itulah beliau yang saya kenali menerusi setiap pembacaan karya-karya beliau,” katanya.
Kagum dengan tulisan Arena Wati, anak muda, Encik Arif Danial Mohd Lodfi menceritakan beliau mula berjinak dengan buku Arena Wati ketika beliau berasa bosan semasa berada di sekolah. Beliau orang pertama yang meminjam buku di perpustakaan sekolah dan buku itu merupakan karya Arena Wati.

“Arena Wati memang seorang penulis tulen lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang banyak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), belum tentu dapat menghasilkan buku sebanyak yang dihasilkan oleh beliau. Beliau memang tokoh hebat,” kata Arif Danial.
Pensyarah Kanan Fakuti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Dr. Hani Salwah Yaakub pula berkata, masyarakat pada hari ini hendaklah menganggap Arena Wati sebagai nostalgia yang boleh membangunkan negara sebagaimana beliau mahu dirinya dikenang sebagai nostalgia.

“Saya diminta membaca Trilogi Bunga, satu daripadanya ialah “Sakura Mengorak Kelopak” yang disuruh berkali-kali oleh Dr. Faisal Tehrani sehinggalah saya tamat pengajian di Universiti Teknologi MARA. Kemudian selepas saya membaca buku tersebut, saya terus jatuh cinta. Selepas itu, saya tidak sabar untuk membaca buku ketiga pula, iaitu Bunga dari Kuburan.
“Ternyata Arena Wati tidak hanya menonjol sebagai seorang pengarang dan pemikir, malah diiktiraf sebagai pencatat zaman, iaitu membawa kita mengembara lebih luas ke Indonesia dan Eropah dengan pelbagai belahan dunia,” katanya lagi.