Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Rosani Hiplee
Belawai – Keindahan dan kehalusan seni tenunan Melanau Rajang kembali diserlahkan melalui penganjuran Karnival Songket Rajang anjuran Persatuan Penggiat Sastera Sarikei (PERPESSA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Acara yang berlangsung di Rumah Tenun Songket Rajang pada 15 November, mengetengahkan tema “Seindah Tenunan Lestari Warisan”, sekali gus memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap warisan tekstil tradisi setempat.
Karnival berkenaan diwarnai dengan pelbagai program berunsur budaya dan kesusasteraan, termasuk Pertandingan Gubahan Songket, Pertandingan Busana Songket, Pameran Songket Rajang, Pertandingan Deklamasi Puisi bertema songket, serta Diskusi Buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang.

Diskusi buku yang dipengerusikan oleh Dr. Faezah Muhayat, Timbalan Ketua Akademi DBP, yang mengemudi perbincangan bersama dua penulisnya, Radzemah Bolhassan dan Hajah Sa’anah Haji Suhaili. Mereka berkongsi pandangan tentang keaslian teknik seni tenun Rajang, usaha pendokumentasiannya serta cabaran dalam memastikan warisan ini terus dipelihara oleh generasi baharu.

Perjalanan penerbitan buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang bermula sejak 2019 melalui inisiatif Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak, sebagai usaha memelihara dan memperluas pengenalan Songket Rajang ke peringkat yang lebih luas. Menurut Radzemah, keistimewaan Songket Rajang terletak pada tenunan yang kemas, tahan lasak dan boleh dipakai pada dua bahagian, menjadikan hasilnya lebih bernilai dan bernuansa warisan.
Dalam buku tersebut, lima motif utama Songket Rajang dihuraikan secara terperinci, iaitu:
Buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang diterbitkan DBP pada tahun 2025, dan majlis pelancarannya disempurnakan oleh Yang Berhomat Dato Ir. Haji Yusuf Haji Abd Wahab, Ahli Parlimen P206 Tanjong Manis, pada 15 November di Iftitah Resort, Belawai.

Dalam ucapannya, Dato Ir. Haji Yusuf menegaskan bahawa penerbitan tersebut merupakan inisiatif bernilai tinggi dalam mendokumentasikan khazanah budaya masyarakat Rajang, khususnya seni tenunan songket yang kian menyerlah sebagai identiti setempat.
Turut hadir ialah YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail, Pengarah DBP Cawangan Sarawak; Tuan Ismail Kasah, Pegawai Daerah Tanjung Manis; YBrs. Puan Ritah Yahya, Editor Kanan Bahagian Buku Umum DBP dan YBrs. Tuan Abu Seman Masri, Penghulu Kampung Rajang.