Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Manis – Usaha memartabatkan seni tenunan tradisi masyarakat Melanau Rajang mencapai satu lagi detik bersejarah apabila ahli Parlimen Tanjong Manis Yang Berhormat (YB) Dato Ir. Haji Yusuf Haji Abd Wahab menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang bersempena dengan Karnival Songket Rajang yang berlangsung di Iftitah Resort, Belawai.
Majlis anjuran Persatuan Penggiat Sastera Sarikei (PERPESSA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu turut diserikan dengan persembahan Gelinang Kampung Jerijeh seperti mendeklamasi puisi, tarian serta persembahan nyanyian, sekali gus memeriahkan sambutan yang menghimpunkan penggiat seni, penenun, komuniti setempat dan pencinta budaya dari seluruh tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato Ir. Haji Yusuf menzahirkan penghargaan kepada PERPESSA dan DBP atas komitmen mereka mengangkat warisan tempatan ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau menegaskan bahawa kegigihan para penenun, penulis serta penggiat budaya merupakan aset bernilai yang harus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.
Beliau turut menyentuh mengenai perkembangan positif seni tenunan Rajang yang kini menerima permintaan tinggi, baik dari dalam mahupun luar negara, memperlihatkan apresiasi masyarakat terhadap kehalusan seni turun-temurun tersebut.

“Songket Rajang bukan sebarang songket unik, halus dan mempunyai nilai budaya yang tinggi. Warisan Melanau ini telah dibawa hingga ke pentas nasional, termasuk ke Kuala Lumpur dan ke bangunan Parlimen yang melambangkan identiti kita yang tidak ternilai,” katanya.
YB Dato Ir. Haji Yusuf turut berkongsi pengalamannya menempah beberapa helai songket Rajang yang pernah dipersembahkan kepada Premier Sarawak pada satu pesta di Belawai, termasuk dijadikan tanjak pada acara tersebut. Ini menjadi bukti keistimewaan tenunan Kampung Rajang yang semakin dikenali pada peringkat lebih luas.
Pelancaran buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang, karya Radzemah Bolhassan dan Sa’anah Suhaili, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi naskhah ilmiah pertama yang mendokumentasikan seni tenun Rajang secara lengkap.
Naskhah yang merupakan hasil Bengkel Perolehan Manuskrip anjuran Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak itu seterusnya telah diterbitkan oleh DBP sebagai sebuah rujukan penting yang memelihara identiti masyarakat Melanau melalui warisan tekstil mereka.

YB Dato’ Haji Yusuf menegaskan bahawa penerbitan naskhah tersebut mencerminkan kesungguhan penulis tempatan dalam memartabatkan khazanah bangsa, selain membuka ruang kepada lebih banyak usaha pendokumentasian seni dan budaya tempatan.
Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengarah DBP Cawangan Sarawak YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Pegawai Daerah Tanjung Manis YBrs. Tuan Ismail Kasah; Editor Kanan Bahagian Buku Umum DBP YBrs. Puan Ritah Yahya dan Penghulu Kampung Rajang YBrs. Tuan Abu Seman Masri.