Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Filem arahan Azlan Norani yang pertama, Penghukum: Nusantara Assassin (Penghukum) bakal menjengah ke pawagam bermula 20 November ini.
Filem terbitan Terang Films dan PMD Production dengan kerjasama Tourism Pahang membawakan kisah Salahuddin, lakonan Razib Salimin, seorang lelaki berusia 60-an membesarkan Yasmin (Yusra Akma), cucu tunggalnya yang kematian ibu bapa.
Hubungan Salahuddin-Yasmin sangat rapat dan sentiasa bersama-sama melakukan banyak perkara. Namun begitu, pada suatu hari Salahuddin terlambat menjemput Yasmin dari sekolah. Sejak itu Yasmin hilang tanpa jejak.
Walaupun membuat laporan polis, dan kes dikendalikan oleh Inspektor Qhaliq (Arwan Umar), tetapi Salahuddin nekad mencari sendiri Yasmin. Penyiasatannya membawa kepada kebenaran pahit, iaitu cucunya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan mati dalam letupan kereta ketika cuba diselamatkan oleh Salahuddin.
Demi menuntut keadilan, Salahuddin kembali sebagai pemburu upahan di bawah Pustakalayah, sebuah agensi rahsia berkonsepkan perpustakaan yang mengekalkan warisan Melayu lama, pimpinan Kurator (Khatijah Tan), dan dibantu oleh Bookkeeper (Azhan Rani).
Dari situ bermulalah misi berdarah untuk menumpaskan sindiket kejam yang telah meragut nyawa Yasmin, yang diketuai Balaam (Sahronizam Noor) bersama-sama anaknya, Zahin (Syazwan Zulkifly), sekali gus membangkitkan kembali sisi gelap dalam dirinya yang lama terpendam.
Selain koreografi aksi lasak yang sengit dan sinematografi gah, filem tersebut juga mantap kerana menampilkan pelbagai lokasi menarik di sekitar Pahang.
Terdahulu, majlis Tayangan Perdana Filem Penghukum telah diadakan, yang turut dihadiri Azlan dan isterinya, Puteri Tiara selaku Penerbit Terang Films Sdn. Bhd. (Terang Films), Dr. Haji Halim Ikhsan dan Siti Hajar (Penerbit Eksekutif), Puteri Rosshahnaz (Pengurus Produksi), dan Azaromi Ghozali, Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures Sdn. Bhd (D’Ayu Pictures). Rosshahnaz juga berlakon sebagai Puan Moon.
Dalam ucapan ringkas, Azlan dan Dr. Haji Halim sama-sama menyatakan keterujaan kerana berjaya menyiapkan Penghukum. Mereka gembira kerana akhirnya berjaya menerbitkan filem cereka.
Azlan turut menulis lakon layar Penghukum bersama-sama dengan Luqman Jamaluddin.
Menariknya, Haji Halim turut berlakon sebagai pegawai polis yang rasuah dalam Penghukum, serta menyanyikan lagu tema berjudul Tanda Kasih bersama-sama Kmy Kmo.
Azaromi pula menyatakan hasrat D’Ayu Pictures, sebagai Pengedar dan Pemasaran, membawa karya aksi lasak tempatan ke peringkat lebih luas di rantau Asia Tenggara, dengan menonjolkan kekuatan sinergi antara cerita, budaya dengan identiti Nusantara.