Diterbitkan pada 28 November 2025, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelakon filem terkenal tanah air, Syafiq Kyle diumumkan menerima anugerah Ikon Baharu Asia-Pasifik FPA.

Anugerah oleh Persekutuan Penerbit Filem Asia-Pasifik (FPA) tersebut bertujuan menghargai pelakon generasi baharu yang sedang membentuk masa hadapan sinema serantau.

Menurut FPA, Syafiq Kyle yang baru memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-34 menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga diiktiraf atas peningkatan pesat dalam kerjaya lakonan, keupayaan merentasi pelbagai genre dan sokongan penonton yang kukuh.

Selain Blood Brothers: Bara Naga, Syafiq Kyle atau nama sebenarnya, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak dikenali dan diminati ramai menerusi filem Polis Evo 3 (2023) serta Sheriff: Narko Integriti dan Takluk: Lahad Datu (2024).

Pemegang Diploma Komunikasi dan Media daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini akan muncul dalam filem Baga (juga sebagai penerbit), Takluk 2: Ops Daulat, Malaikat Malam dan Blood Brothers 2: Perang Naga.

Syafiq Kyle, 33, menerima anugerah tersebut bersama-sama bintang baharu Thailand, Tontawan Tantivejakul yang melonjak secara dramatik selepas kejayaan luar biasa filem drama keluarga negaranya, iaitu How to Make Millions Before Grandma Dies, antara fenomena “pecah panggung” pada tahun 2024–2025.

Jelas FPA, Tontawan Tantivejakul diraikan kerana kehadiran lakonan yang menyentuh emosi dan pengaruh antarabangsa yang semakin berkembang.

Anugerah untuk Syafiq Kyle dan Tontawan Tantivejakul ini akan disampaikan pada Malam Anugerah Festival Filem Asia-Pasifik (APFF) ke-62 pada 6 Disember 2025 di Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

APFF ke-62 dianjurkan oleh Lomo Pictures Sdn. Bhd. dengan sokongan FPA dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi