Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) akan menganjurkan Malam Baca Puisi bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 pada 6 Disember 2025, bertempat di Pusat Konvensyen Setia City 2, Shah Alam, bermula jam 8.00 malam.
Menurut Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, acara bertemakan “Serumpun Sebudaya” itu menonjolkan iltizam persatuan dalam merapatkan jalinan persaudaraan serantau melalui bahasa, budaya dan puisi.
“Tema ini juga dipilih bagi mengangkat kekayaan ekspresi budaya serumpun yang meliputi pengalaman, sejarah dan budaya masyarakat Nusantara. Saya juga berharap agar acara ini dapat menimba pengalaman pengunjung SIBF serta mengukuhkan peranan puisi sebagai wahana penyatuan budaya serumpun,” katanya.
Tambah beliau, acara tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, dan bakal diserikan dengan kehadiran tokoh sastera Malaysia dan Nusantara termasuklah Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, serta penggiat sastera tanah air, Marzuki Ali, Marsli N.O, Azmi Ismail, Sani Sudin, Adiwangsa Sukma, Wani Ardy serta penyair dari Thailand, Zakariya Amataya.
“Kehadiran YAB Dato’ Seri Amirudin Shari menggambarkan komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan kegiatan kesusasteraan serta memupuk kecintaan terhadap budaya membaca dalam kalangan masyarakat Selangor khususnya, rakyat Malaysia.
“Penampilan Sasterawan Negara dan Nusantara pula akan memberikan peluang kepada para peminat untuk mendekati karya dan suara mereka yang sekian lama terpendam mewarnai bidang puisi Melayu moden,” tambah beliau lagi.

Malam Baca Puisi PENA edisi khas ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kota Buku, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Pustaka Raja Tun Uda.