Diterbitkan pada 10 Disember 2025, 14:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bharu – Festival Kraf Johor (FKJ) 2025 bakal menghidupkan semula semangat warisan kraf tangan tempatan apabila festival ini akan berlangsung selama 12 hari bermula 18 Disember 2025  hingga 29 Disember 2025 di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall.

Dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, festival tahunan ini dibuka kepada orang ramai secara percuma bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari.

FKJ 2025 menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang menggabungkan pelbagai unsur dalam satu elemen seperti perdagangan, kebudayaan dan pendidikan.

Antara program utama yang disediakan termasuklah sesi padanan perniagaan untuk usahawan kraf, jualan produk kraf tangan, serta jualan komuniti kraf yang memberikan peluang kepada penggiat kraf tangan tempatan untuk memasarkan hasil tangan mereka.

Pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan pameran seni bina laman dan taman yang menampilkan reka bentuk landskap tradisional Malaysia. Pameran MYCRAFTSHOPPE dan Institut Kraf Negara turut diadakan bagi mendedahkan kepelbagaian produk kraf tangan negara kepada masyarakat.

Antara tarikan istimewa festival ini termasuklah demonstrasi langsung oleh Adiguru Kraf yang membolehkan pengunjung melihat sendiri kemahiran tinggi para tukang menghasilkan kraf tangan tradisional. Sesi interaktif kraf juga disediakan untuk pelawat mencuba sendiri teknik pembuatan kraf.

Bagi peminat seni persembahan, FKJ 2025 menampilkan persembahan kesenian yang memeriahkan suasana festival. Pengunjung juga boleh menikmati Selera Warisan yang menawarkan hidangan tradisional serta menyertai permainan rakyat yang mengingatkan mereka ke zaman kanak-kanak.

Program lawatan berpandu berkumpulan turut disediakan bagi memberikan pengalaman lebih mendalam tentang dunia kraf tangan Malaysia. Pelbagai pertandingan menarik dengan hadiah lumayan turut menanti penyertaan orang ramai.

Festival ini merupakan satu daripada acara domestik terbaik yang diiktiraf oleh Tourism Johor dan dijangka akan menarik ribuan pengunjung dari seluruh Malaysia dan negara jiran.

Orang ramai yang berminat untuk mengikuti festival ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan mengimbas kod QR yang dilampirkan pada poster promosi atau melayari laman sesawang Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

Bertemakan  “Semua Dijemput Hadir”, FKJ 2025 menjanjikan pengalaman yang menghiburkan dan bermakna untuk mereka yang datang berhujung minggu bersama kaum keluarga sambil menghargai keindahan warisan kraf tangan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi