Diterbitkan pada 13 Disember 2025, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muar – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh terus memperkukuh peranan sosial dan keilmuannya apabila menganjurkan program komuniti Denai Santun: Kesantunan Dua Generasi di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Parit Keroma, Muar.

Program ini menzahirkan komitmen UIAM untuk membumikan nilai kesantunan, kemanusiaan dan keharmonian sosial berlandaskan misi mencapai tahap epistemologi tauhidik dalam konteks pembelajaran, pengajaran dan jaringan komuniti.

Program anjuran kursus Kesantunan Berbahasa (BMCO 3102) bagi Program Bahasa Melayu Untuk Komunikasi Antarabangsa (MCOM), Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM Pagoh ini turut mendapat kerjasama daripada pihak Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) negeri Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Muar dan PAWE daerah Muar.

Sebanyak 22 orang pelajar MCOM yang mengambil kursus BMCO 3102 Kesantunan Berbahasa, UIAM terlibat sebagai fasilitator, manakala 30 orang warga emas sekitar daerah Muar menjadi peserta utama program.

Objektif utama penganjuran adalah untuk menyuntik kesedaran dalam kalangan pelajar universiti agar menyantuni warga emas, di samping menyokong aspirasi komunikasi bebas konflik dalam masyarakat.

Usaha ini selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai hormat, ihsan dan kesejahteraan sosial, serta seiring dengan misi dan matlamat DMDI untuk memelihara nilai peradaban Melayu-Islam dan jalinan kemanusiaan merentas generasi.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Arina Johari, Pensyarah Kanan UIAM selaku Penasihat Program, merangkap Exco Pengajian Tinggi DMDI Negeri Johor.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kesantunan berbahasa bukan sekadar kemahiran komunikasi, malah manifestasi adab dan akhlak berteraskan tauhid yang menjadi asas pembinaan masyarakat berperadaban tinggi.

YBrs. Dr. Arina Johari ketika menyampaikan ucapan penutup program Denai Santun: Kesantunan Dua Generasi.

Beliau turut menekankan bahawa projek ini dapat menzahirkan peranan UIAM sebagai institusi yang melahirkan graduan berilmu, beradab dan berjiwa MADANI melalui pengintegrasian ilmu, agama, nilai dan khidmat masyarakat selaras dengan aspirasi DMDI.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Muar, Puan NorAzliza Ismail, serta Pengerusi PAWE Daerah Muar, Puan Zaidah Omar.

Menurut Puan NorAzliza, program ini merupakan inisiatif yang sangat baik dan amat dinantikan oleh pihak JKM kerana bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada warga emas, malah membina hubungan bermakna antara generasi.

“Pihak JKM amat mengalu-alukan kerjasama berterusan bersama UIAM pada masa akan datang,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah gubahan bunga, nyanyian lagu lama dan baharu, serta aktiviti penceritaan yang memberikan ruang kepada warga emas berkongsi pengalaman hidup dalam suasana mesra dan penuh penghargaan.

Tinjauan mendapati para peserta warga emas menunjukkan reaksi positif, gembira dan teruja sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, Denai Santun: Kesantunan Dua Generasi berjaya merapatkan jurang komunikasi antara generasi, menyemai kasih sayang serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menghormati warga emas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi