Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Para penggiat teater tanah air menyambut baik pelestarian purbawara Melayu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan berharap turut memperoleh pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan tidak ketara.
Menurut pendendang syair, pengarah, pelakon dan penulis, YBhg. Datuk Roslan Madun, purbawara Melayu memang wajar dilestarikan oleh KPM walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) lebih sesuai berbuat sedemikian.
“Di sebalik serba kekurangannya dalam pelbagai aspek penting bagi sesebuah pementasan teater, terutamanya teknikal, pementasan tetap berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Sesi Pleno 1 Kongres Teater Purbawara Melayu di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang pada 11 Disember lalu.
Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya, YBrs. Dr. Marlenny Deenerwan yang pernah mengarahkan Muzikal Sirih Bertepuk Pinang Menari dan Teater Muzikal Uda & Dara turut mengakui kesukaran mencari sumber rujukan tentang purbawara Melayu.
Walau bagaimanapun, berdasarkan pembacaan beliau, purbawara Melayu tidak dapat lari daripada sandiwara yang istilahnya dimulakan oleh teater Miss Riboet dari Indonesia.
“Kegagalan Malayan Union telah membangkitkan semangat rakyat Tanah Melayu untuk mengusir Inggeris. Bangsawan tidak dapat membantu kerana ceritanya hanya berkisar tentang golongan atasan. Justeru, lahirlah sandiwara dan purbawara yang lebih sesuai,” katanya yang merujuk tulisan Allahyarham Shaharom Hussain dan Allahyarham Mana Sikana.
Menyahut gesaan Shaharom agar anak muda menghasilkan karya yang mencabar sistem dan memberikan interpretasi sendiri terhadap sesuatu isu, katanya, lahirlah Matinya Seorang Pahlawan dan Atap Genting Atap Rumbia.
Terdahulu, pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBrs. Profesor Madya Dr. Lena Farida Hussain Chin dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa semua bangsa mempunyai karya pementasan masing-masing, tetapi purbawara hanya ada pada bangsa Melayu.
“Memang ada pertandingan purbawara Melayu dianjurkan sekarang. Kalau mahu melestarikannya, kita perlu mencari akarnya, walaupun agak sukar,” ujar beliau.
Turut hadir ialah tokoh veteran dari Teater Hidayah, Kamarul AR; penerbit dan pengarah, Siti Rohayah Atan; pelakon dan pengarah, Zaifri Husin; Dr. Zainatul Shuhada Abdul Rahman, serta pensyarah dari Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi MARA, dan pegawai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak.
Sebagai resolusi Kongres, semua yang hadir bersetuju untuk mencadangkan satu bentuk teater purbawara Melayu yang sesuai atau wajar kepada KPM, mengguna pakai kaedah semasa dan mudah untuk permulaan, serta mencadangkan kementerian berkenaan mengadakan pertandingan purbawara.