Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSambutan Krismas di pedalaman diraikan dengan penuh kesederhanaan, namun sarat dengan makna. Tanpa hiasan mewah seperti di bandar, persiapan Krismas di pedalaman khususnya di Sabah tetap istimewa kerana dibina atas semangat gotong-royong, keikhlasan dan menekankan kerohanian yang mendalam.
Satu daripada elemen paling bermakna dalam persiapan ini ialah perhiasan lampu yang menjadi simbol cahaya dan harapan.
Beberapa minggu sebelum Krismas, komuniti gereja mula bergotong-royong membersihkan kawasan gereja dan rumah ibadat. Apabila senja menjelma, kerja memasang lampu dilakukan bersama-sama. Lampu kelip-kelip sederhana, mentol berwarna dan lampu minyak di beberapa tempat menjadi hiasan utama.

Walaupun jumlahnya tidak banyak, cahaya lampu inilah yang menghidupkan suasana Krismas di pedalaman, menerangi malam yang gelap dengan sinar kegembiraan.
Di sekitar gereja, lampu digantung pada pokok, pagar kayu dan bumbung bangunan. Ada juga kampung yang menggunakan lampu tenaga solar atau lampu terpakai yang dibaiki semula.
Kreativiti dan kebijaksanaan penduduk jelas terserlah apabila bahan terhad dimanfaatkan sebaik mungkin. Apabila malam tiba, cahaya lampu yang berkelipan di sekeliling gereja menjadi tarikan utama dan tanda bahawa Krismas semakin hampir.
Rumah-rumah di ceruk desa pula, perhiasan lampu dipasang secara sederhana. Ada yang menggantung lampu kecil di tingkap, ada yang meletakkannya di sekitar pintu masuk rumah.
Bagi kanak-kanak, saat paling menggembirakan ialah apabila lampu dinyalakan pada waktu malam. Mereka akan berkumpul di luar rumah, menikmati suasana Krismas yang tenang dan indah, sambil mendengar cerita dan nyanyian lagu-lagu Krismas.
Selain perhiasan fizikal, persiapan rohani turut berjalan seiring. Latihan koir dilakukan pada waktu malam, dengan cahaya lampu menerangi gereja kecil di kampung. Suasana ini mewujudkan pengalaman yang sangat menyentuh perasaan suara nyanyian bergema dalam gelap malam, disinari cahaya lampu yang sederhana namun penuh simbolik.

Pada malam Krismas, lampu-lampu ini bukan sekadar hiasan, tetapi menjadi saksi kepada kebersamaan komuniti. Penduduk berjalan kaki ke gereja, membawa bersama harapan, doa dan rasa syukur. Cahaya lampu yang menerangi kawasan jauh dari kota menjadi lambang perjalanan iman dan perpaduan masyarakat pedalaman.
Krismas di pedalaman mengajar bahawa keindahan sebenar tidak terletak pada kemewahan, tetapi pada cahaya kecil yang dinyalakan bersama cahaya kasih, pengorbanan dan kebersamaan. Dalam gelap malam, sinar lampu Krismas tetap bercahaya, membawa harapan dan kedamaian buat semua.

_________________________
Jacquelina Karimon merupakan seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).