Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Sebuah teater sejarah berjudul Raja Haji Fisabilillah yang dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak pada 27 – 28 Disember 2025 yang lalu telah membuka ruang kebebasan untuk berkreativiti apabila pengarahnya, Ard Omar berjaya melakukan inovasi dengan menyuntik elemen eksperimen dalam teater tersebut.
Teater hasil karya Hazzley Abu Bakar ini berusaha mengangkat kisah perjuangan Yamtuan Muda Riau, Raja Haji fisabilillah, pahlawan agung Melayu-Bugis yang bangkit menentang penjajahan Belanda demi maruah bangsa dan kedaulatan tanah air.
Beliau memimpin peperangan besar untuk mempertahankan Riau dan Melaka sehingga gugur syahid di Teluk Ketapang pada tahun 1784. Raja Haji (lakonan Razman Mahayuddin) berjaya membawa semangat pahlawan yang bijak mengatur langkah dan tidak gentar berhadapan dengan Belanda.
Hal ini berbeza daripada sikap Gabenor Gerardus (lakonan Ali Samad), iaitu penjajah Belanda yang luarannya kelihatan berani, tetapi gementar apabila bertemu dengan Raja Haji kerana melanggar perjanjian berkongsi keuntungan sama rata.
Namun begitu, watak Gabenor Gerardus sangat teliti dalam pergerakan kecil, menjadikan wataknya sentiasa hidup apabila memberikan reaksi.
Setiap persembahan tiada kesempurnaan, namun kebijaksanaan Ard Omar mencari ruang untuk menutup kekurangan itu dengan set kapal yang besar dan boleh bergerak menjadi elemen kejutan kepada penonton.
Gabenor Gerardus kelihatan berdiri gah di atas kapal bersama-sama Toger Aboe (lakonan Faha Azhar) yang merancang mahu menjatuhkan Raja Haji.
Walaupun hanya terdapat seorang pelakon wanita yang memegang watak Tengku Ratu Mas (lakonan Shasha Fairus), iaitu isteri Raja Haji, namun sudah cukup menjadi seri dalam persembahan.
Tengku Ratu Mas yang muncul bergerak ke titi memandang laut memberikan interpretasi seperti bimbang dengan tanggungjawab Raja Haji yang semakin berat dan membahayakan nyawa.
Apabila kebebasan ruang berkarya lebih bebas dan tiada batas, imaginasi pengarah akan lebih luas untuk menghidupkan suasana di atas pentas.