Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Tirai tahun 2026 dibuka dengan langkah beradab dan gerak warisan apabila Pertandingan Seni Silat Cekak Terlak Qhadirun dianjurkan bersempena cuti Tahun Baharu, sekali gus menandakan permulaan baharu dalam usaha memartabatkan seni persilatan Melayu di peringkat komuniti.
Pertandingan ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya dianjurkan secara bersama oleh Gelanggang Cekak Terlak Qhadirun Bukit Rangin Aman, Chendering dan Sungai Isap.
Pengerusi Silat Cekak Terlak Qhadirun Kuantan merangkap Ketua Pertandingan, Ahmad Sallihin Khalil, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran sulung ini.
Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan amat membanggakan dan menjadi bukti kesungguhan kita dalam memelihara warisan seni persilatan Melayu.
Menurut beliau, penganjuran bersama ini membawa makna besar kerana menjadi titik mula kepada kerjasama yang lebih erat antara gelanggang Silat Cekak Terlak.
“Pertandingan ini merupakan pertandingan pertama yang dianjurkan secara bersama oleh tiga gelanggang, selaras dengan hasrat kita untuk menyatukan tenaga serta memperkukuh persaudaraan dalam kalangan pengamal silat,” jelasnya.

Pertandingan ini disertai oleh 43 orang pesilat dari pelbagai peringkat umur dan tahap kemahiran, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan serta minat berterusan terhadap Silat Cekak Terlak Qhadirun sebagai warisan bangsa.
Dua kategori utama dipertandingkan, iaitu Silat Tari Solo, yang menekankan kehalusan gerak, keindahan seni dan kawalan diri, serta Silat Tempur Berpasangan, yang menilai teknik, ketepatan, kerjasama serta pematuhan kepada adab dan keselamatan.
Menegaskan matlamat penganjuran, Ahmad Sallihin berkata pertandingan ini bukan sekadar untuk mencari pemenang. “Pertandingan ini adalah ruang pembelajaran, perkongsian ilmu dan pengukuhan jati diri pesilat. Adab, disiplin dan nilai murni mesti kekal menjadi teras seni persilatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pertandingan ini dirancang untuk dijadikan acara tahunan bagi memastikan kesinambungan Silat Cekak Terlak Qhadirun terus terpelihara dan diwarisi generasi akan datang.
Terdahulu, pertandingan yang berlangsung di Dewan Pandan Satu itu telah dirasmikan oleh YBrs Encik Hasrul Afizan Mohd Din, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). Turut hadir ialah Master Zulkefli Hussin, Pengerusi Persatuan Seni Silat Kuantan (PerSilatan).
Keputusan pertandingan menyaksikan Gelanggang Cekak Terlak Qhadirun Bukit Rangin Aman dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan, diikuti Gelanggang Cekak Terlak Qhadirun Chendering di tempat kedua dan Gelanggang Cekak Terlak Qhadirun Sungai Isap di tempat ketiga. Juara membawa pulang Piala Pusingan Piala Guru Md Bakri, dinamakan sempena guru utama Silat Cekak Terlak sebagai penghormatan terhadap legasi beliau.

Penganjuran Pertandingan Seni Silat Cekak Terlak Qhadirun ini diharap akan terus membuka ruang baharu dalam memelihara seni persilatan Melayu, seiring azam Tahun Baharu 2026 untuk memperkukuh jati diri, budaya dan warisan bangsa di peringkat komuniti dan nasional.