Diterbitkan pada 12 Januari 2026, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Pementasan Teater Tradisonal Mek Mulung, Afrot, yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 -10 Januari yang lalu memberikan suatu inovasi yang menarik apabila pengarahnya bijak menggunakan elemen teknologi media sebagai unsur magis untuk memukau penonton.

Pengarah teater, Mohamad Yusuf Azizan juga menyuntik lagu tular dan trend terkini agar penonton tidak bosan mengikuti pecahan jalan cerita yang berangkai sebelum mencapai matlamat utama.

Watak Tok Raja Besar (lakonan Saiful Wazien) sebagai tunjang utama cerita wajar diberi pujian kerana lakonannya yang tidak mengecewakan.

Pengalamannya yang luas dalam persembahan Mek Mulung banyak membantu beliau membina perwatakan sebagai Tok Raja Besar yang tegas dan penyayang.

Dari segi teknikal, penataan cahaya dan teknologi LED juga banyak membantu persembahan teater tersebut. Adegan ketika Afrot mendapat mimpi bahawa Tok Raja Besar masih hidup, tetapi telah diseksa oleh Raja Gergasi ditayangkan melalui cahaya LED menjadi suatu kesan khas yang menarik tumpuan penonton supaya kekal duduk di kerusi hingga pementasan tamat.

Hal ini merupakan suatu kejayaan yang besar apabila segala jerih payah usaha produksi menjadi tidak sia-sia.

Pementasan ini wajar dijadikan pemangkin agar lebih banyak pementasan Mek Mulung bakal dipersembahkan dan masyarakat tidak mengambil peduli akan warisan khazanah yang diperjuangkan sejak ratusan tahun ini.

Antara tetamu yang hadir menyaksikan pementasan tersebut termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, YB Loh Sze Yee; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UPSI, YBrs. Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin; Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Encik Rosnan bin Abdul Rahman; Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKKN, Puan Salmiyah binti Ahmad; dan Pengarah JKKN Perak, Encik Hisham bin Mat Husein.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi